"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas maut, dua anak cedera kereta terjunam dalam gaung

Amir Hamzah Nordin
Keadaan kenderaan yang terbabas ke dalam gaung di Jalan Utama Kampung Berchang, semalam. Foto ihsan polis
LIPIS: Seorang wanita warga emas maut, manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Utama Kampung Berchang, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.56 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mendapati sebuah kereta terhumban ke dalam gaung. Mangsa berusia 66 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Dua lagi mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu anak perempuan mangsa berusia 29 tahun, manakala abangnya berusia 31 tahun turut berada dalam kenderaan berkenaan.

Katanya, kereta itu dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menuju Kuala Lumpur sebelum pemandu dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.

“Kereta itu terbabas melanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu mengalami kecederaan ringan, manakala penumpang belakang berusia 31 tahun mengalami patah pinggul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sengaja koyakkan pasport, pasangan kekasih berdepan hukuman penjara 14 tahun, denda maksimum RM79,000

Agensi
PASANGAN kekasih ditahan selepas pasport SAR milik mereka didapati dikoyakkan secara sengaja. FOTO Agensi
PASANGAN kekasih ditahan selepas pasport SAR milik mereka didapati dikoyakkan secara sengaja. FOTO Agensi
Hong Kong: Jabatan Imigresen menahan pasangan kekasih di Lam Tin pada petang Khamis selepas ujian forensik Makmal Kerajaan mengesahkan empat halaman dalam pasport Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) milik seorang wanita dikoyakkan secara sengaja.

Penahanan itu sekali gus menafikan dakwaan tularnya bahawa kehilangan halaman itu berpunca daripada kecacatan pembuatan, lapor The Standard.

Bercakap kepada media pada malam Khamis, Ketua Pegawai Imigresen (Siasatan Luar) Tang Wai-yip berkata, pegawai penyiasat merampas pasport berkenaan untuk menjalani ujian saintifik selepas wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menerusi platform media sosial Threads bahawa kesilapan cetakan menyebabkan pihak berkuasa Jepun menolak kemasukannya awal minggu ini.

Analisis forensik Makmal Kerajaan mengesan sisa gentian kertas yang menunjukkan dokumen itu diusik manusia pada bahagian halaman 15 hingga 18 yang hilang. 

Penemuan itu membuktikan halaman berkenaan dikoyakkan secara paksa dan bukannya tertinggal ketika proses pengeluaran.

Susulan penemuan itu, pegawai menahan wanita terbabit bersama teman lelakinya berusia 34 tahun, yang kedua-duanya penduduk Hong Kong, di Ping Chun House, Ping Tin Estate, Lam Tin.

Mereka disyaki mengubah suai dokumen perjalanan tanpa kebenaran, memiliki dan menggunakan dokumen perjalanan yang diubah suai secara tidak sah serta mengelirukan anggota Perkhidmatan Imigresen. Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut.

Pegawai turut memaklumkan pasport itu dikeluarkan lapan tahun lalu iaitu pada 2018. Rekod imigresen menunjukkan wanita berkenaan pernah menggunakan pasport sama untuk mengembara ke beberapa destinasi tanpa sebarang masalah, sekali gus membuktikan dokumen itu berada dalam keadaan sempurna ketika dikeluarkan.

Jabatan Imigresen menegaskan setiap pasport SAR dicetak di pusat percetakan berkeselamatan tinggi dengan pemantauan komputer yang ketat selain menjalani pemeriksaan manual setiap halaman sebelum diserahkan kepada pemilik.

Justeru, kemungkinan halaman tertinggal akibat kecuaian dalam proses penjilidan ketika pengeluaran adalah mustahil.

Wanita terbabit dan teman lelakinya merancang percutian sempena hari jadi selama seminggu ke Jepun bermula 23 November lalu, namun pegawai imigresen Jepun mengesan pasport wanita terbabit melangkau terus dari halaman 14 ke halaman 19 sebelum mengarahkannya pulang ke Hong Kong dengan penerbangan seterusnya.

Dalam hantaran di Threads yang meraih lebih 1.1 juta tontonan, wanita itu mendakwa jahitan di bahagian tengah pasport tidak menunjukkan sebarang kesan koyakan dan mendakwa kakitangan imigresen di lapangan terbang Hong Kong mengesahkan kecacatan itu sebaik dia tiba.

Apabila dipanggil ke ibu pejabat imigresen di Tseung Kwan O pada Rabu untuk memberikan keterangan dan memohon pasport gantian, wanita terbabit menarik balik dakwaan bahawa pegawai imigresen menyalahkan kesilapan cetakan.

Bagaimanapun, dia masih bertegas menerusi hantaran dalam talian bahawa tidak pernah merosakkan pasport berkenaan.

Mengikut Ordinan Imigresen, perbuatan mengubah suai pasport SAR tanpa kebenaran atau memiliki serta menggunakan dokumen perjalanan yang diubah suai secara tidak sah boleh membawa hukuman maksimum denda 150,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM79,000) dan penjara 14 tahun jika sabit kesalahan manakala pihak yang bersubahat juga boleh dikenakan hukuman sama.

Sementara itu, kesalahan mengelirukan anggota Perkhidmatan Imigresen di bawah Ordinan Perkhidmatan Imigresen membawa hukuman maksimum denda 10,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM5,200) dan penjara enam bulan.
-hmetro

Pembiaya, perancang utama angkut dadah guna aset TUDM dikenal pasti

NORLIA RAMLI

BALING – Polis telah mengenal pasti suspek yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang menyalahgunakan kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun suspek berjaya meloloskan diri ketika operasi tangkapan dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha mengesan dan menahan suspek terbabit masih diteruskan, ia masih dalam radar pengesanan polis.

“Kita sudah mengenal pasti dalang utamanya tetapi apabila tangkapan dibuat, dia dapat memboloskan dirinya, namun begitu dia dalam radar tracking polis, pelanduk mungkin lupakan jerat, tapi jerat tak pernah lupakan pelanduk.

“Hasil risikan dan perkembangan siasatan kes itu turut dibentangkan kepada Jemaah Menteri semalam, yang bersetuju supaya kawalan keselamatan diperluas ke pangkalan udara tentera dan dilaksanakan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan rangkaian dadah di kawasan Segitiga Emas, pihaknya tidak menafikan perkara itu kerana sebahagian bekalan dadah berasal dari kawasan tersebut.

“Bekalan dadah ke negara kita sebahagian besarnya memang masuk daripada Segitiga Emas, namun biarlah bahagian narkotik menyelesaikan tugasan mereka kerana mereka sedang meluaskan jaringan untuk mengesan beberapa lagi pemain yang terbabit.

“Polis sudah kenal pasti peranan setiap individu dalam rangkaian sindiket berkenaan termasuk pembiaya, perancang utama, pengangkut, penghantar, pemberi maklumat serta penyelaras kegiatan dan siasatan masih diperluaskan bagi mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE