"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Kami akan tunggu janji"

Nyza Ayob 

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Hrkh) - "Kami bersetuju dan sokong 110 peratus dengan pembangunan ini. Tetapi bagaimana dengan nasib kami para peniaga di sini. Dato' Zulhasnan menyatakan nasib kami akan dibela. Jadi kami akan tunggu dan lihat sebagaimana yang dijanjikan untuk menempatkan semula peniaga-peniaga seperti kami."

Demikian luahan Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM), Dr Hosni Hussen Md Saat yang mewakili peniaga-peniaga Pasar Minggu, Kampung Baru sewaktu ditemui selepas pelancaran Puncak Baru sempena pembangunan semula tapak Pasar Minggu Kampung Baru, di sini semalam.

Jelas Hosni, sebagai 'tuan rumah', DBKL seharusnya berbincang dengan beliau terlebih dahulu mengenai projek pembangunan tersebut.

"Kami mungkin tidak mampu untuk mendiami kondominium serta menyewa ruang yang disediakan. Jadi, kami berharap terdapat penempatan semula untuk peniaga-peniaga ini,"katanya penuh mengharap.

Sejak pertengahan tahun lepas, kumpulan peniaga ini membantah usaha membangunkan semula tapak pasar yang dianggap kawasan perniagaan terawal orang Melayu yang pernah dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman pada 1967.

Memorandum bantahan tersebut telah dihantar kepada Abdullah pada Jun 2008.

"Sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada pihak PM sehinggalah kami diberitahu tentang projek Puncak Baru ini. Ahli-ahli PPKPM semua hendak tahu apa yang berlaku,"katanya.

Tapak perniagaan itu mempunyai 181 lot meliputi kawasan pasar minggu, gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa.

Sementara itu, ditanya ura-ura kumpulan peniaga akan mengadakan bantahan semalam, jelas Hosni, pihaknya terpaksa membatalkan niat tersebut demi menjaga air muka Abdullah.

"Kami tidak mahu malukan Abdullah di saat akhir beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri zulhasnan Rafique, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' M Saravanan, Dato' Bandar Kuala Lumpur, Dato' Ahmad Fuad Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali.

Puncak Baru akan dibangunkan di atas tanah milik DBKL seluas 2.6 ekar. Ia terdiri daripada empat komponen utama iaitu sebuah menara kondominium setinggi 60 tingkat yang mengandungi 392 unit kediaman, 40 tingkat unit pejabat, tiga tingkat ruang membeli belah dan satu pembangunan integrasi Stesen LRT Kg Baru dan ruang perniagaan atau Bazaar. 

Tiada ulasan: