"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lompat parti atas prinsip moral, agama? Cheh! / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

MAT ZAIN MAT ISA
Sebagai
menebus kekalahan memalukan di tangan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, BN bingkas dengan kesumat berstrategi. Kelebihan mendominasi kuasa di peringkat Pusat dimanfaatkannya secara optima untuk menggugat dan menggigit pemerintahan Pakatan di negeri-negeri dari segenap sudut dengan pelbagai taktik dan strategi.

Salah satu taktik paling kotor diguna BN ialah 'mencuri' wakil-wakil rakyat Pakatan. Meskipun agak sukar dibuktikan, penglibatan BN dalam menghilangkan kepercayaan beberapa wakil rakyat pembangkang dari parti masing-masing tidak sukar dirasionalkan akal waras.

Taktik ancam ugut terhadap wakil rakyat Pakatan, terutama di Perak, Selangor dan Kedah seakan menjadi agenda utama BN. Caranya ialah dengan menyiasat atau memalukan Adun-Adun Pakatan di atas dakwaan rasuah, moral dan seumpamanya.
Usaha bersungguh BN itu tidak sia-sia. Sejak pilihan raya umum lalu sudah lima Adun Pakatan yang menukar taatsetia mereka. Jumlah itu tidak termasuk dua Adun yang hanya sekejap menyertai Keadilan, masing-masing satu di Perak dan Sarawak.
Siri kejadian lompat parti bermula dengan episod kecurangan tiga Adun Perak, awal Februari lalu. Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (KeADILan-Behrang) dan Mohd Osman Jailu (KeADILan-Changkat Jering) yang mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas, 3 Februari. Tindakan serupa dibuat Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keesokannya.

Anehnya, ketiga-tiga Adun yang melompat itu terlebih dahulu dilaporkan 'hilang' dan gagal dihubungi beberapa hari sebelum muncul bersama Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Dato' Seri Mohd Najib Razak di Putrajaya. Hakikat itu mengundang persepsi bahawa mereka telah 'diculik' dan dibeli BN untuk tujuan menumbangkan kerajaan Pakatan Perak.

Meskipun tidak mengisytiharkan menyertai mana-mana parti, ikrar sokongan mereka kepada BN sudah cukup untuk parti itu menyempurnakan kemaruk kuasa itu. Pada hari sama (4 Februari), Adun BN-Bota, Dato' Nasarudin Hashim, yang keluar Umno dan menyertai KeADILan, 26 Januari, turut melompat semula ke pangkuan BN.
Selepas kejayaan di Perak, BN beralih tumpuan ke Selangor dan Kedah. Usaha berterusan BN sedikit berhasil apabila pada 23 Ogos, Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh pula mengumumkan keluar KeADILan dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan Pusat.

Seperkara agak ketara, Adun yang melompat itu dikenalpasti bermasalah, sama ada berhadapan kes integriti atau prestasi khidmat yang dipertikaikan. 'Kelemahan peribadi' itu memudahkan mereka menjadi mangsa manipulasi taktik jahat BN.
Sebab itu tidak mengejutkan apabila pada 29 Oktober lalu, giliran Adun Pelabuhan Kelang pula mengulangi tindakan empat petualang terdahulu itu. Badrul Hisham Abdullah, juga dari KeADILan, mengisytiharkan keluar parti dan menjadi Adun Bebas yang 'mesra BN'.

Beliau sejak sekian lama dikatakan gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, sehingga menjejaskan reputasi kerajaan negeri serta imej parti. Sebagai penyelesaian secara terhormat, kepimpinan KeADILan menuntut beliau mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada pemilihan seorang Adun lebih bertanggungjawab.

Penyelesaian serupa telah berjaya dicapai dalam kes Adun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin dan Adun Bukit Selambau, V Arumugam. Malangnya perkiraan secara bertanggungjawab sebegitu gagal dihayati Badrul Hisham.

Apa yang agak kelakar, beliau masih sempat mendakwa tindakan tidak bermaruah itu sebagai berprinsip. Beliau menegaskan keputusan itu berasaskan "prinsip agama dan moral saya sebagai seorang Islam".

Kita tidak tahu dan tidak berminat ambil tahu apakah prinsip agama dan moral seorang Adun lompat seperti beliau itu. Namun alasan Badrul Hisham itu membuktikan betapa orang Melayu pada asasnya gemar menyandarkan sesuatu yang dibuatnya berasaskan agama. Sekali pun dia tahu tindakannya itu tidak bermoral dan salah di sisi agama, dia tetap mendakwa sebaliknya.

Teringat penulis kepada satu dialog dalam filem 'Syurga Cinta' yang diulang tayang di saluran tv satelit sepanjang Oktober lalu. Ceritanya mengenai sepasang suami isteri yang hidup terpesong dari agama, tidak solat dan minum arak.
Dalam satu babak, si suami yang dikejutkan isteri yang melihat dua anak lelakinya bersolat, memperincikan amal yang telah dibuatnya.

"Nak takut apa? Kita ni kan banyak beribadah, banyak bersedekah. Hah, anak-anak yatim dekat Bosnia tu, segala taufan yang melanda di dunia kita ni, semua kita bantu. Ikmal tu, bukan anak angkat kita? Itu bukan ibadah namanya? Confirm tak masuk neraka," kata kaki mabuk itu.

Astaghfirullah al-Azim! Memang betullah kata-kata Ustaz Dato' Ismail Kamus dalam satu ceramahnya mengenai 'Murtad'.

"Orang Melayu ini tak sembahyang pun dia, jangan kata dia kafir. Membunuh mahu dia!" ujarnya.

Sedangkan dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w. diterangkan bahawa seorang Islam yang meninggalkan solat dengan sengaja itu terang-terang menjadi kafir.

Apa bezanya fahaman cetek itu dengan keyakinan Adun Pelabuhan Kelang? Tindakan yang terang-terang mengkhianati kepercayaan pengundi yang memilihnya atas nama Pakatan masih dianggapnya bermoral dan menepati prinsip agama? Cheh!

Tiada ulasan: