"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Punca peningkatan kos Projek Landasan Berkembar / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Detikdaily

Walaupun Zaki Azmi kini menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara, malah mungkin telah memutuskan hubungannya dengan Emrail Sdn Bhd, namun seandainya dilihat dari tempoh proses pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, Zaki Azmi bagaimanapun tidak boleh mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab tertentu.

Menurut Laporan Kewangan Kumpulan Fima Berhad tahun 2006, Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Emrail Sdn Bhd pada 22 Ogos 2002 (Zaki Azmi adalah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad pada tahun 2006). Tempoh ini kebetulan dalam proses pembangunan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh (Julai 2000 hingga Jun 2003). Emrail adalah salah satu kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan landasan keretapi.

Latar belakang Emrail

Syarikat Emrail Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1973, menumpukan kepada pembinaan landasan untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad. Sebelumnya ditukar nama kepada Emrail Sdn Bhd, syarikat ini bergelar Time Salam Engineering, iaitu anak syarikat kepada UEM Engineering Bhd.

UEM Engineering Bhd ialah syarikat GLC (Government Linked Company) yang berhubungan rapat dengan UMNO. UEM Engineering Bhd namanya Renong Group sebelum ini. Semasa krisis ekonomi tahun 1997, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad mengerah sumber negara untuk bail out syarikat yang hutangnya menggunung, tetapi dilihat sebagai lambang maruah orang Melayu ini.

Menurut laporan New Straits Times pada 26 Mei 2000, Emrail telah menjalankan satu penstrukturan semula yang penting pada Mei 2000, iaitu membeli syarikat Noblemax Resources Sdn Bhd. Melalui pembelian ini, Pengerusi Noblemax Resources, Hari Narayanan menjadi pemegang saham terbesar merangkap Naib Pengerusi Emrail, sementara Ahmad Kamil Jaafar pula menjawat Pengerusi Eksekutif.

Kemudian, Zaki Azmi (gambar kiri) secara rasminya menyertai Emrail, menggantikan Ahmad Kamil Jaafar sebagai Pengerusi, dan menguasai syarikat ini bersama Hari Narayanan.

Jika dilihat dari sudut tempoh, pembelian syarikat ini oleh Zaki Azmi, selain membolehkan dirinya menikmati "durian yang runtuh", memperolehi Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini tanpa perlu melakukan apa-apa, malah beliau juga menyedari hubungan Emrail dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd, dan kelebihan Emrail untuk mendapatkan projek Landasan Berkembar Elektrik Utara-Selatan.

Menurut laporan Bernama pada 21 April 2007, Emrail Sdn Bhd berniat untuk mendapatkan Projek Landasan Berkembar Utara-Selatan (Northern And Southern Double-tracking Projects). Pemegang saham terbesar (58%) merangkap Pengerusi Emrail ketika itu, Zaki Azmi berkata kepada wartawan, "Bos kami ialah kerajaan, tiada orang akan membina landasan kecuali kerajaan." 【Baca Laporan Bernama: Emrail Aims For Northern And Southern Double-tracking Projects

"Kami telah menyiapkan Projek Landasan Berkembar Rawang-Ipoh untuk kerajaan. Perlu diingatkan bahawa Emrail adalah satu-satunya syarikat bumiputera yang membina landasan di Malaysia. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menyerahkan projek landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas kepada kami," tambah Zaki Azmi.

Punca peningkatan kos mendadak

Di samping itu, menurut satu tulisan berjudul "Plugging that leak in public sector spending" yang disiarkan pada 16 Mac 2009, di laman web rasmi Ketua Setiausaha Negara, kelewatan projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan mengakibatkan projek ini tertunda lebih setahun daripada jangkaan, dan peningkatan kos yang mendadak.

Seterusnya, berlaku pula perselisihan antara kerajaan dengan kontraktor (termasuk DRB-Hicom Berhad), menjurus kepada keengganan Kementerian Kewangan membayar pampasan selebihnya setelah projek disiapkan.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, punca utama peningkatan kos adalah pemohonan kontraktor untuk dapatkan wang daripada kerajaan secara berterusan. Misalnya, DRB-Hicom Berhad menuntut kos lebihan sebanyak RM808.68 juta daripada kerajaan berikutan daripada pengubahsuaian projek landasan (yang dikendalikan Emrail Sdn Bhd). Namun, pemohonan ini tidak diluluskan Kementerian Kewangan.

Walau bagaimanapun, DRB-Hicom Berhad merayu kepada Perdana Menteri pada Julai 2005 untuk mendapatkan RM425.17 juta, akhirnya diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada April 2006 dengan RM425.00 juta, sebagai pampasan kepada penamatan kontrak. Sehingga akhir tahun 2008, kerajaan telah memperuntukkan lebihan sebanyak RM371.78 juta kepada DRB-Hicom Berhad.

Menurut laporan Bernama pada 22 November 2004, Menteri Pengangkutan ketika itu, Chan Kong Choy dipetik berkata, kerajaan telah membayar RM20 juta secara terus kepada sub-kontraktor termasuk Emrail, untuk mempercepatkan perkembangan projek tersebut.

Sementara itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, sehingga Mei 2005, kerajaan telah membayar secara terus RM 453.16 juta kepada sub-kontraktor, untuk mempercepatkan kelajuan proses agar Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan. Kesemua "pembayaran terus" ini di luar perhitungan kos asal. Dengan kata lain, lebihan pembayaran inilah menyebabkan peningkatan kos secara mendadak. (Bahagian kedua, bersambung)

Bahagian pertama: Peningkatan kos RM1.43 bilion Ketua Hakim Negara terlibat

Oleh Neo Chee Hua,merdeka review

Tiada ulasan: