"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan hadiahkan pakej umrah kepada 'Red Warriors' / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 4 Nov:
Kerajaan Kelantan akan membiayai pakej umrah kepada pasukan bola sepak negeri itu sebagai 'hadiah' kerana telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, yang akan berlangsung Sabtu ini.

Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan 'wang saku' sebagai hadiah untuk perbelanjaan sepanjang berada di sana.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Beliau seterusnya berkata selain kesemua pemain, turut serta dalam pekej itu penolong-penolong jurulatih, petugas, pengurus dan timbalan pengurus serta lain-lain yang terlibat.

Bagaimanapun menurut Ahmad lagi, jurulatih pasukan 'Red Warriors' B Sathianathan pula akan dibayar sagu hati sebagai tanda penghargaan untuknya.

"Kerana dia bukan beragama Islam, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan wang sagu hati kepadanya sebagai hadiah terhadap kejayaannya yang semakin memberangsangkan," ujarnya.

Sementara itu, mesyuarat exco yang bersidang hari ini juga turut mengistiharkan cuti peristiwa negeri Kelantan pada hari Ahad, 8 November ini sebagai meraikan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.

Menurutnya, cuti berkenaan diberikan sebagai mengambil kira faktor keselamatan di jalan raya sama ada kepada pemain, penonton atau kepada semua yang terlibat.

Jelasnya, semoga dengan cuti peristiwa yang diputuskan itu penyokong akan dapat mengikuti perlawanan itu dengan baik atau sewaktu pulang ke rumah masing-masing.

Pada masa yang sama beliau menasihati penyokong bola sepak Kelantan supaya berdisiplin serta mengikuti perlawanan akhir bola sepak itu dengan semangat kesukanan.

Jelasnya, kerajaan negeri, rakyat Kelantan keseluruhannya mengharapkan pasukan berjaya membawa kemenangan itu.

"Apa yang penting kita jangan terlalu ghairah, pergi dengan keadaan yang tenang disamping membawa semangat kesukanan begitu juga sewaktu pulang ke kampung halaman keesokan harinya," ujarnya.

Terdahulu beliau memberitahu kerajaan negeri turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang telah berjaya membawa skuad merah putih itu ke pertandingan akhir pada 7 November ini.

Wakil-wakil kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun, Anggota Parlimen dijangka akan hadir menyaksikan perlawanan itu.

Tiada ulasan: