DATO' DR HARON DIN
DATO', saya amat keliru memikirkan mengapa ada banyak kes kanak-kanak perempuan di bawah umur, dikahwinkan dengan orang yang dikatakan alim yang sudah berumur, kononnya dengan tujuan ingin menyelamatkan mereka di akhirat. Alasan yang diberikan bahawa Rasulullah s.a.w. mengahwini Aisyah sewaktu masih terlalu muda. Situasi ini seolah-olah tidak memberi pilihan kepada kanak-kanak itu untuk memilih masa depan. Adilkah situasi ini? Apakah sebenarnya berlaku antara Aisyah dengan Rasulullah s.a.w.?
RAFIDAH BT ABDULLAH
Menerusi e-mel
ADA dua perkara asas yang perlu difahami dalam masalah perkahwinan. Pertama, amalan yang disyariatkan. Kedua, adat resam sesuatu bangsa yang diamalkan.
Adat kebiasaan sesuatu bangsa dalam perkahwinan, jika sesuai dengan kehendak syarak, maka eloklah diamalkan. Jika bertentangan, maka eloklah ditinggalkan.
Bagi hal-hal perkahwinan, ada asas-asas syarak yang perlu direnungi. Ada banyak hadis tentang perkahwinan 'al-bikru' yang bermaksud anak dara.
Ada hadis tentang perkahwinan 'athayyibu' dan juga 'assaghirah'. Ia berkenaan gadis di bawah umur.
Hadis tentang perkahwinan anak dara atau al-bikru, ada disebut dalam hadis Bukhari dan Muslim seperti (mafhum) sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak dinikahi seorang janda sehingga dia meminta ia dinikahi dan tidak dinikahi anak dara, sehingga diminta izin daripadanya. Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana meminta izin daripadanya?" Maka jawab Rasulullah, "Jika dia mendiamkan diri ketika diminta keizinannya, maka dia telah memberikan keizinan."
Hadis yang sama diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dan disahkan oleh Muslim.
Hadis di atas membawa maksud bahawa, perkahwinan yang disyariatkan adalah perkahwinan yang bersandarkan kepada keizinan daripada perempuan, sama ada anak dara atau janda.
Dalam kitab-kitab hadis dan kitab-kitab fikah yang membicarakan hal perkahwinan, kadang-kadang ia menggunakan istilah al-bikru dan assaghiratu.
Al-bikru adalah dirujuk kepada anak dara yang dikatakan cukup umur sesuai untuk dinikahi. Inilah yang disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadis tadi. Iaitu, harus meminta izin daripadanya.
Keizinan hanya boleh diterima pakai bagi yang cukup umur dan tidak boleh terima bagi yang di bawah cukup umur.
Adapun istilah gadis di bawah umur yang saudari kemukakan dalam persoalan di atas, dalam kitab hadis ada bab (tajuk), ada bahagian mengenai tazwijussaghirah atau terjemahannya bab mengkahwinkan gadis kecil.
Dalam bab ini, dibawa satu hadis sahaja. Iaitu satu hadis yang menceritakan dan diceritakan sendiri oleh Aishah r.anha, seperti hadis (mafhumnya): "Ketika Aishah diakadnikahkan dengan Rasulullah, Aishah ketika itu berusia enam tahun dan bersekedudukan dengannya setelah berusia sembilan tahun."
Ini adalah hadis sahih. Tetapi harus difahami dengan baik-baik.
Merenung hadis ini, kita harus fahami beberapa perkara. Pertama, Rasulullah s.a.w diberi keistimewaan tertentu yang tidak diberi kepada umatnya. Antaranya baginda boleh berpoligami lebih daripada empat. Boleh berkahwin tanpa mahar dengan perempuan yang menawar diri kepadanya. Dan boleh berkahwin dengan gadis di bawah umur, bagi yang mengatakan berlaku demikian.
Kedua, jika perkahwinan dengan Aishah dianggap perkahwinan biasa untuk diikuti oleh umatnya, seperti yang berlaku antara suami (sudha berumur) dengan isteri (terlalu muda di bawah umur), maka yang nyata baginda tidak terus bersama Aishah selepas berlaku perkahwinan.
Aishah tinggal bersama keluarganya, Rasulullah tinggal di rumahnya tanpa mereka bersekedudukan.
Mereka tinggal bersama hanya setelah berpindah ke Madinah, ketika Aishah berusia sembilan tahun, dikatakan Aishah ini berbadan gempal dan dilihat sudah begitu sesuai untuk dikahwini. Dan mereka yang sekeliling Aishah sudah mengasuh beliau mengenai erti perkahwinan yang di antaranya Ummu Rumaan.
Seperti yang tersebut dalam hadis, yang akhirnya, Rasulullah baru mendatangi Aishah, yang ketika itu bukan lagi assaghirah. Dia telah menjadi al-Bikru, yang sudah sesuai menjadi isteri, tanpa apa-apa tekanan kepadanya.
Perihal sedemikian tidak boleh dijadikan alasan pernikahan segelintir umat Islam, yang mengahwinkan orang tua dengan gadis bawah umur. Itu adalah adat yang tidak boleh dijadikan hujah syarak untuk membolehkannya.
Perkahwinan dalam Islam adalah seperti yang disebutkan sendiri oleh Raslullah s.a.w kepada sahabatnya Jabir bin Abdullah. Ketika Jabir berkahwin dengan seorang janda (thayyib), Rasulullah bertanya, "Mengapa kamu tidak berkahwin dengan sorang anak dara (cukup umur), yang kamu boleh bermesra dengannya dan dia bermesra denganmu, atau yang boleh kamu riang gembira dengannya, dan dia riang gembira denganmu."
Hadis ini jelas memberi isyarat bahawa perkahwinan yang dianjurkan ialah perkahwinan yang berlaku antara lelaki dan perempuan yang hampir sebaya, yang boleh menikmati dan merasai makna perkahwinan. Boleh memberi dan menerima kebahagiaan.
Inilah yang kebiasaannya berlaku kepada perkahwinan yang sebaya atau yang kufu.
Adapun perkahwinan yang dikatakan terlalu bawah umur yang boleh membawa penyeksaan daripada pihak yang lebih umur ini, maka ambillah peringatan dan nasihat yang saya sebutkan dalam ruangan bicara ini. Wallahua'lam.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan