"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan Pahang tetap mahu Bajet 2010 dibentang semula

Zukri Aksah

Pakatan Rakyat (PR) Pahang tetap mahu kerajaan negeri membetulkan kesilapan teknikal yang dikhuatiri boleh menjejaskan status Bajet 2010 dengan segera membentangkannya semula di Dewan Undangan Negeri (DUN).Timbalan Pengerusi II Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang Azan Ismail berkata, apa yang dibangkitkan pihaknya bukan isu politik

Oleh itu kata Azan, menjadi satu sikap tidak betul jika Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob bertindak balas secara politik sedangkan apa yang dibangkitkan merupakan isu pentadbiran dan undang-undang semata-mata.

“Sama ada mahu dibentang semula atau tidak, itu terpulang kepada Adnan,” kata Azan yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota ketika dihubungi

Tegas Azan, yang penting pembetulan dokumen Bajet 2010 Pahang mesti dilakukan di DUN bukannya di luar.

Azan mempertahankan kenyataan beliau sebelum ini sambil memberitahu bahawa dokumen Bajet 2010 Pahang juga telah diteliti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen kelmarin, yang kemudiannya mengesahkan dakwaan beliau.

“Dokumen Bajet 2010 Pahang, dari kulit ke kulit, termasuk lampiran yang dikepilkan itu bersifat embargo, ia dikawal oleh Akta Acara Kewangan. Maksudnya, keseluruhan isi bajet ini termasuklah lampirannya mempunyai kesan undang-undang,” katanya.

Azan turut melahirkan rasa kecewa dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Adnan semalam.

“Tidak perlu beremosi, tidak payahlah sampai mengoyak lampiran tersebut,” kata beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi juga memberi komen yang senada.

PAS Pahang menurut beliau, kekal menuntut mahu supaya satu sidang DUN khas dipanggil dalam masa terdekat ini.

Tuan Ibrahim juga menegur sikap Adnan yang sering memandang mudah dalam banyak hal, termasuk perkara yang berkaitan dengan undang-undang.

“Peraturan tetap peraturan dan Nazri, sebagai menteri yang menjaga undang-undang telah memberi pandangan undang-undangnya iaitu tiada cara lain membetulkan kesilapan dokumen bajet tersebut melainkan melalui satu Sidang DUN khas,” katanya.

Tuan Ibrahim turut melahirkan rasa risau jika Adnan dengan sikap pandang mudahnya berkeras mahu melaksanakan Bajet 2010 Pahang dan peruntukan perbelanjaan itu masih dipertikaikan kesahihan.

“Selagi sidang DUN khas tidak dipanggil untuk membuat pembetulan tersebut, maka selagi itulah Bajet 2010 Pahang adalah bajet yang belum disahkan, dan pelaksanaannya tanpa pengesahan sudah tentu akan membabitkan banyak implikasi undang-undang,” katanya lagi.

Dokumen Bajet 2010 Pahang yang dibentangkan pada pertengahan bulan lalu telah menjadi isu kerana didakwa tidak sah ekoran kesilapan tarikh semakan.

Azan telah menggesa supaya satu sidang DUN khas dipanggil untuk pembetulan dan pembentangan semula bagi membolehkan bajet tersebut dilaksanakan pada tahun hadapan.

Semalam, Adnan memberitahu Bajet 2010 Pahang tidak perlu dibentangkan semula kerana Ringkasan Penyata Kewangan tersebut hanyalah lampiran yang dikepilkan sedangkan Buku Laporan Penyata Kewangan Negeri Pahang, yang dirujuk untuk membuat ringkasan tersebut adalah dokumen berasingan yang telah diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara.

Beliau dikatakan mengoyak lampiran Ringkasan Penyata Kewangan dalam Bajet 2010 negeri tersebut yang didakwa tersilap tarikh.

M/Insider

Tiada ulasan: