"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dana Masjid: Laporan Malaysiakini didakwa cuba lagakan pemimpin PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Dis:
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu pihak Malaysiakini memperbetul atau menarik balik laporannya berhubung isu dana masjid yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng awal minggu ini kerana didakwa cuba melaga-laga kepimpinan PAS.

Timbalan Ketuanya, Herman Samsudeen dalam satu kenyataan memberitahu laporan Malaysiakini berhubung perkara itu sengaja cuba membentuk persepsi bahawa berlaku pertembungan pandangan antara pimpinan PAS.

"Dengan mengunakan tajuk "PAS tidak sepakat isu dana bina masjid", Malaysiakini cuba membentuk pemikiran pembaca supaya melihat seolah-olah Timbalan Presiden, Ust Nasharuddin Mat Isa berbeza pandangan dengan Bendahari PAS Dr. Hatta Ramli," kenyataan beliau dipetik.

Menurut Herman juga, kenyataan Nasharuddin dan Hatta jelas bermaksud serupa iaitu kedua-duanya tidak menghalang Nga Kor Meng dari mengemukakan pandangan berhubung isu itu.

Katanya, PAS sependapat tidak mahu isu ini tidak dibincangkan secara terbuka dan mahu mengunakan saluran yang betul bagi mengelakkan persepsi negatif pihak-pihak yang berkepentingan seperti Umno yang gagal memberikan hujah dalam menjawab isu ini.

"Tindakan Malaysiakini juga dilihat sama seperti Utusan Malaysia yang mengunakan tajuk kontraversi dalam isu ini bagi menimbulkan kemarahan pembaca.

"Utusan Malaysia mengunakan tajuk "Kor Ming persoal kerajaan bina banyak masjid" dan secara spontan rakyat yang membaca tajuk itu boleh memberikan respon yang negatif," katanya lagi.

Dalam isu ini juga katanya, PAS jelas tidak menyalahkan Ahli Parlimen Taiping kerana membangkitkan isu peruntukan itu, tetapi mahu pendedahan itu dibuat dengan cara yang lebih baik agar pihak-pihak yang emosional dalam Umno dan NGO pro-Umno tidak melatah seperti hari dan menuduh beliau sebagai cuba mewujudkan ketegangan Agama.

"Diharapkan agar pihak Malaysiakini dan media lain tidak menangguk diair keruh hingga sangup mengunakan cara yang tidak berhemah bagi menarik perhatian pembaca.

"DPPWP mahu Malaysiakini mengubah atau menarik semula artikel berkenaan dengan segera dan menyatakan fakta yang betul supaya rakyat boleh memahami hasrat sebenar Ahli Parlimen Taiping dan pimpinan PAS," katanya.

Tiada ulasan: