"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Musa Hassan letak jawatan: KPN benteng akhir BN!

WAN NORDIN WAN YAACOB
Tiba-tiba sahaja, jawatan Ketua Polis Negara (KPN) menjadi perbualan hangat sebaik sahaja akhbar The Chinese Press melaporkan kononnya KPN, Tan Sri Musa Hassan menghantar surat letak jawatan kepada Menterinya, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Sebelum laporan tersebut tersiar difahamkan bahawa Hishamuddin tampil menjelaskan bahawa Musa tidak pernah menghantar surat peletakan jawatan kepadanya seperti yang dilapor akhbar terbabit.

Musa secara rasminya telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 14 September 2006 bagi menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Omar. Beliau sepatutnya bersara sejak lama dulu pada 14 September 2007.

Bagaimanapun, hal ini telah mewujudkan persepsi baru, iaitu sama ada isu ini ada kaitannya dengan dakwaan ke atas Dato' Ramli Yusof yang dibebaskan daripada dakwaan korupsi baru-baru ini.

Umum mengetahui bahawa Musa adalah saksi utama dalam kes perbicaraan Ramli berkaitan dakwaan penyalahgunaan kapalterbang Cessna milik PDRM bagi kepentingan peribadi.

Malah tidak boleh dinafikan terdapat permusuhan antara Musa dengan Ramli sejak Ramli mendedahkan hubungan akrab Musa dengan sindiket pelacuran, perjudian haram, Ah Long dan dadah yang membabitkan kongsi gelap Cina.

Kedua-duanya 'mempunyai asas' untuk berseteru antara satu sama lain memandangkan mereka saling sekat-menyekat kepentingan dan saling mengetahui rahsia masing-masing.

Namun, apa sahaja yang berlaku dalam isu Musa melawan Ramli ini, hakikatnya bukan sekadar Musa yang menghadapi 'budaya' itu, malah kedudukan sebenarnya hampir kesemua KPN bakal berhadapan dengan krisis moral atau intergriti.

Sikap ini bermula apabila seorang KPN yang dilantik mudah dipergunakan untuk kepentingan kerajaan yang memerintah, dan dalam hal ini telah menjadi pengetahuan umum bahawa Umno/BN telah mencengkam institusi ini selama lebih 50 tahun.

Justeru, seperti kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, KPN tidak kira siapa sahaja watak itu, dia akan berdepan dengan persepsi legasi 'penggunaan polis sebagai alat politik BN'.

Walaupun sejak dahulu lagi, Tun Dr Mahathir Mohammad 'menggunakan' polis sebagai jentera menggempur reformis pada era 1998 ketika pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, namun penggunaan pasukan ini tidak terhenti setakat zaman itu sahaja.

Sebaliknya, ujar beliau, institusi kepolisan di negara ini sarat dengan bahan negatif yang bukan menjadi satu rahsia lagi kepada rakyat, malahan rakyat kini telah mempunyai pandangan yang buruk terhadap institusi ini.

"Tukarlah siapa sahaja pun KPN, tidak kira Musa atau sebagainya, imej polis sudah semakin parah dan buruk di mata masyarakat. Jenayah semakin meningkat, rogol, bunuh, rompak, sindiket pelacuran, pemerdagangan manusia, samseng dan rasuah semuanya terpalit dalam 'kamar kepolisan'," katanya.

Mengapa pandangan ini berlaku? Jawab Mahfuz, ia terhasil daripada cengkaman yang dibuat Umno/BN sejak dahulu kepada polis yang mana institusi ini dilihat sebagai benteng 'pertahanan' Umno/BN, selain menyerang 'bila terdesak'.

Walaupun Suruhanjaya Pembaikpulihan Pengurusan dan Perjalanan PDRM telah dibuat dan mengemukakan idea untuk perubahan, namun imej polis semakin buruk setelah menjadi alat kepada Umno/BN.

Mutakhir ini semakin menjadi-jadi pula penggunaan polis dalam menyekat ceramah pembangkang, mengganggu ceramah dan menekan pimpinan Pakatan Rakyat.

Insiden penahanan Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, insiden kekecohan dan gangguan semasa program Sambutan Dua Tahun Pakatan Rakyat di Kampung Baru dan beberapa insiden lain seolah-olah menunjukkan bahawa Umno/BN masih meneruskan cengkaman ke atas institusi ini.

Persoalan keselamatan negara tidak pernah dipandang berat, hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya jalan terbaik menjaga persoalan keselamatan, walhal peningkatan kadar jenayah semakin meningkat.

Lihat sahaja kes pengedaran dadah mutakhir ini yang semakin menjadi-jadi, kes pembunuhan, keganasan Ah Long, rompakan, kongsi gelap, perjudian, kelab malam, pelacuran, dan sebagainya yang menjadikan negara semakin tidak aman.

Rakyat kini berada dalam keadaan 'bimbang' kerana setiap hari, ada sahaja laporan-laporan jenayah berlaku, namun seperti kata Mahfuz, dalam soal ini di manakah polis, atau polis hanya digunakan untuk menunaikan hajat politik Umno/BN?

Justeru, tidak kira siapa bakal menggantikan Musa nanti, kata Mahfuz, persoalan yang bersarang ialah sama ada institusi polis mampu atau tidak untuk mengubah dan merobah semula 'keterikatan' mereka dengan penguasa yang menggunakan mereka.

Malah, sejauhmana seseorang KPN itu mampu untuk menyelesaikan atau mengurangkan kadar jenayah yang semakin membimbangkan, dan bukan sandaran politik yang menjadi keutamaan.


Kenapa PDRM perlu sewa 34 helikopter?

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam mesyuarat Dewan Rakyat akhir 2009 dalam ucapan Belanjawan pernah membangkitkan pertanyaan berhubung sikap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam isu tertentu bagi mendapatkan jawapan pihak kementerian.

Antara yang terkandung dalam pendedahan itu ialah, sewaan helikopter. Pada pertengahan 2007, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah diarahkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menyewa 34 buah helikopter daripada syarikat Asiacopter selama 30 tahun.

Melalui pendedahan itu, anggaran kos sewaan ini mencecah RM20 billion. Cadangan PDRM kepada kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 ialah membeli 8 buah helikopter dengan peruntukan sebanyak RM272 juta dan beliau difahamkan bahawa 8 helikopter adalah jauh lebih mencukupi untuk kegunaan PDRM.

Dalam perbahasannya, Kit Siang mempersoal apakah perlunya PDRM menyewa 34 buah helikopter daripada Asiacopter Sdn Bhd walhal cadangan PDRM kepada kerajaan pada asalnya hanya membeli lapan helikopter sahaja.

"Apakah perlunya PDRM menggunakan wang sebanyak RM20 billion untuk menyewa 34 buah helikopter ini?

"Kenapakah PDRM tidak menggunakan peruntukan ini dalam usaha pembasmian jenayah dan peningkatan gaji dan elaun anggota polis, tetapi ia disalurkan untuk menyewa 34 buah helikopter?

"Kenapakah pihak KPN bersungguh-sungguh dengan projek ini sehingga menghantar surat bertarikh 12 Februari 2007 terus kepada Menteri Kewangan 2 untuk memohon kelulusan rundingan terus untuk pelaksanaan projek ini?" soal beliau lagi.

Selepas pilihan raya umum lalu, tambah beliau, Menteri KDN telah bertukar dan telah mengemukakan cadangan itu ke kabinet dan kabinet telah menolaknya pada bulai Mei tahun lalu.

"Sekali lagi, kami dimaklumkan bahawa KPN tanpa segan silu telah menulis surat secara terus kepada Perdana Menteri untuk membuat pembelian helikopter sebanyak 8 unit ini secara rundingan terus dengan syarikat Asiacopter.

"Untuk makluman, pembelian helikopter 8 unit ini telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal RMK9 oleh pihak EPU dengan anggaran kos RM272 juta, tetapi cadangan syarikat Asiakopter yang disokong oleh KPN mencadangkan harga RM350 juta," katanya.

ANTARA PENDEDAHAN DAN PERTANYAAN LAIN

Kit Siang juga mendedahkan 'E-Police Force Solution' adalah satu rangkaian sistem 'wireless digital' sepenuhnya yang berasaskan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) yang canggih dengan litupan seluruh negara.

Sistem ini, menurut beliau, berupaya menyalurkan suara, data, video, grafik dan maklumat biometrics dan DNA secara serentak dan tanpa batasan. Kertas cadangan perlaksanaan projek ini bernilai RM4.2 billion. PDRM berminat dengan sistem ini kerana mereka percaya ia dapat membantu pihak polis dalam siasatan dan membanteras jenayah.

"Saya tiada masalah dengan keinginan PDRM untuk membeli sistem teknologi yang boleh membantu mereka menjalankan siasatan jenayah ini, tetapi apa yang tidak faham dalam urusniaga ini ialah,

"Kenapakah Ketua Polis Negara boleh menghantar memohon dikeluarkan surat 'letter of intent' dan ‘letter of award’ kepada syarikat Web Power Sdn Bhd terus kepada Perdana Menteri dan tidak melalui Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri?" soal beliau.

Prosedur yang patut dilakukan dalam apa-apa pembelian sepatutnya ialah Ketua Polis Negara harus menulis surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Setiausaha kemudian menulis surat kepada Kementerian Kewangan, selepas diluluskan oleh Kementerian Kewangan, barulah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memanggil tender.

"Tetapi sekarang, Ketua Polis Negara terus 'bypass' Ketua Setiausaha Kementerian dan memohon dikeluarkan surat 'letter of intent'nya terus kepada Perdana Menteri. Kenapakah ini berlaku? Kita dapati pihak KPN telah melanggar ‘standard operating procedure (SOP)' iaitu 'go direct to minister by-pass your immediate boss (KSU)'," katanya.

Sementara itu, Lim turut membangkitkan pertanyaan berhubung kertas cadangan 'E-Police Force Solution' dikemukakan oleh WebPower Sdn Bhd kepada PDRM.

"Soalan saya ialah, kenapakah KPN begitu gigih meminta kerajaan mengeluarkan peruntukan untuk membeli 'E-Police Force Solution' daripada sebuah syarikat yang dipunyai oleh bekas seorang anggota Suruhanjaya Pasukan Polis yang juga bekas seorang Pengarah 3 bintang PDRM? Kenapa beliau boleh bersetuju dengan harga yang ditawarkan iaitu RM4.2 bilion?," soal beliau.

Kit Siang juga dalam pendedahannya meminta KDN menjelasan hubungan KPN dengan syarikat Asiacopter dan WebPower Sdn Bhd.

"Ini adalah penting untuk rakyat mengetahui mengapa seorang KPN terlibat secara langsung dengan aktiviti perniagaan sedangkan sekarang ini, indeks jenayah berat makin meningkat dan banyak kes-kes serius yang berprofail tinggi tidak dapat diselesaikan seperti kehilangan cip komputer di Pulau Pinang, pembunuhan kejam Sharlinie, pembunuhan pemimpin politik di Johor dan lain-lain lagi.

"Kegiatan rasuah dan salahguna kuasa dalam kalangan pegawai kanan dan anggota polis makin meningkat. Banyak kes tergantung tanpa tindakan seperti kes tatatertib Pengarah Logistik PDRM sehingga kini senyap tanpa tindakan walhal kes itu menjadi buah mulut dalam kalangan pasukan PDRM dan orang ramai. Adakah kerana Pengarah tersebut orang kepercayaan KPN maka tindakan tidak boleh diambil?" katanya.

Selain itu, Lim merujuk dua kenyataan akhbar dalam akhbar pada Ogos dahulu (berkaitan penglibatan sebuah syarikat IT dengan Israel dan pembelian helikopter untuk kegunaan PDRM) yang disifatkannya sebagai amat memalukan kerana kedua-dua kenyatan akhbar itu telah dinafikan kebenarannya oleh Menteri Dalam Negeri.

"Penglibatan KPN dengan sindiket judi dan kongsi gelap. Sehingga kini pihak KPN tidak pernah mengambil tindakan bersungguh-sungguh tentang hubungkait beliau dengan kumpulan tersebut yang diketuai oleh BK Tan dan Goh Cheng Poh (dikenali sebagai Tengku Goh).

"Ia tidak sepertimana tindakan saman beliau kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dituduh memfitnahnya. Tetapi dalam kes ini, walaupun Raja Petra telah membongkar cerita ini sejak 2007, sehingga kini tiada apa-apa tindakan yang diambil. Apakah tuduhan-tuduhan ini benar?" soal Lim lagi.

Tiada ulasan: