"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Royalti: Nazri Aziz berbohong di Dewan Rakyat

Dzulfikar Mashoor & Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 22 Mac:
Gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohamad Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

“Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969 dengan ini dimansuhkan, maknanya ketika berhujah di dalam Dewan (Rakyat), yang berhormat Menteri (Nazri) telah memakai akta yang sebenarnya dimansuhkan.”

“Undang-undang yang dimansuhkan, dia tahu tidak boleh dihujahkan di dalam Dewan (Rakyat), perbuatan menipu Dewan Rakyat telah berlaku pada saat itu,” tegas Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin mendesak Mohamed Nazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Sebelum pada itu, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dilihat cuba untuk tidak memberi laluan kepada Saifuddin bagi membuktikan Mohamed Nazri berbohong di Dewan Rakyat.

Saifuddin kemudiannya mendesak Ronald supaya konsistan dalam mengendalikan sesi penghujahan di Dewan Rakyat.

Menurut Saifuddin, Ronald diminta konsistan melaksanakan Peraturan Mesyuarat, 37(1) dan 36(12), dengan membenarkan beliau mempertikai Mohamed Nazri.

Ini kerana, beliau berkata, Ronald pernah membenarkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuat penghujahan balas, selepas mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong di Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa 1Malaysia adalah ciplak pada 1Israel.

Disember tahun lalu, Nazri Aziz berkata, kedudukan pelantar minyak 170 kilometer, di Zon Ekonomi Eksklusif Melaysia-Thailand melayakkan kerajaan Kelantan menerima wang ehsan semata-mata daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, ketika bercakap dalam sidang media di lobi parlimen tengah hari ini, Saifuddin berkata, Nazri secara jelas menyelewengkan fakta apabila menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1969) yang telah dimansuhkan sewaktu berhujah dalam isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PR itu.

"Tadi kita (Ahli Parlimen PR) telah membangkitkan peraturan mesyuarat perkara di bawah 37 (1) dan 36 (12) berkenaan perbuatan yang kita percaya dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas yang mengelirukan dewan.

"Ketika MP Padang Rengas menggulung perbahasan di peringkat dasar Jabatan Perdana Menteri, apabila kami membahaskan isu berkaitan royalti kelantan, apabila kami meneliti semula jawapan yang diberikan menteri iaitu isu tiga batu nautika berdasarkan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri setakat tiga batu nautika. Oleh kerana telaga minyak Kelantan yang berada melebihi tiga batu maka menteri berhujah berdasarkan ordinan ini, Kelantan tidak ada hak membuat tuntutan.

"Tetapi kami menemui undang-undang Malaysia iaitu Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah dimansuhkan," katanya.

Sementara itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) dalam sidang media yang sama berkata, isu yang dibawa oleh Saifuddin itu jauh lebih besar daripada perkara yang dibangkitkan Abdul Rahman berkaitan Anwar.

"Isu yang dibawa wakil Machang iaitu ahli dewan menyelewengkan fakta jauh lebih besar isunya kerana beliau seorang Menteri Kabinet yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat yang betul berbeza dengan ahli parlimen biasa.

"Isu yang dibangkitkan Kota Belud berkaitan Datuk Seri Anwar itu kita boleh bahaskan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula berkata, Nazri seperti yang didedahkan Saifuddin Nasution pernah menggunakan fakta mengelirukan semasa membuat hujah penggulungan berhubung isu royalti negeri Kelantan.

"Kita tunggu dalam masa seminggu, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan dewan, maka kami juga akan merujuk Nazri ke jawatankuasa sama," katanya yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang akan mengheret Anwar ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen jika gagal memberi penjelasan dalam tempoh seminggu berhubung dakwaan mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel.

Tiada ulasan: