"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Hashim: Saya dilantik Sultan Kelantan, SPN tiada kuasa

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 21 Mac: Datuk Wan Hashim Wan Daud mempertahankan pelantikan beliau sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan — yang mencetuskan krisis terbaru Istana Kelantan sambil menegaskan, “Tuanku Sultan bebas untuk melantik siapa yang baginda suka.”

Kelmarin Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad mempertikaikan pelantikan beliau sambil menegaskan hanya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) yang berkuasa untuk melantik seseorang dan menganggap jawatan itu yang kosong belum diiisi.

Sambil menjelaskan Sultan Ismail Petra berhak untuk mendapatkan khidmat seorang setiausaha sulit beliau turut menegaskan pelantikannya itu tidak terikat dengan SPN.

“Tuanku bebas hendak lantik siapa yang baginda suka sebab sebagai seorang sultan, baginda memang berhak untuk dapat khidmat setiausaha sulit ini daripada sesiapa sekalipun.

“Kalau tidak saya, orang lain atas dasar seorang sultan. Itu biasalah.

“Pelantikan saya, saya dilantik terus oleh Tuanku, tidak terikat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri sebab saya dah pencen.

“Tapi kalau perkhidmatan kerajaan itu lainlah,” kata beliau ketika dihubungi.

Oleh itu kata beliau, pertikaian dibangkitkan oleh Abdul Halim dan Pengerusi SPN Datuk Ismail Md Noor bahawa kuasa melantik Setiausaha Sulit Sultan terletak pada SPN tidak tepat dalam kesnya.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Engku Rejhan Engku Ismail tetapi telah ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tahun lalu ketika Sultan Kelantan sedang menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Baginda pulang ke tanah air awal bulan ini.

Menjawab laporan akhbar kelmarin yang menyebut penyandang baru jawatan Setiausaha Sulit Sultan dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan telah menghadap Sultan Kelantan, Ismail menegaskan kedua-dua jawatan itu belum diisi lagi dan hanya boleh dibuat oleh SPN.

“Tapi setakat ini pihak SPN tidak pernah melantik sesiapa pun untuk memegang kedua-dua jawatan itu.

“Jawatan itu kosong pada masa kini,” kata beliau pada sidang media yang diadakan di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar yang turut dihadiri Abdul Halim.

Abdul Halim turut membuat laporan polis berhubung pelantikan Setiausaha Sulit Sultan, penggunaan kepala surat Pejabat Sultan yang didakwa diguna tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa dan blog Kickdefella yang menulis perkara berkaitan istana, yang dianggap mengelirukan.

Wan Hashim menambah, “ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana Tuanku Ismail telah memberikan kebenaran untuk menggunakannya.”

“Kepala surat ini disediakan di pejabat saya di istana baginda. Saya hanya menyediakan kenyataan akhbar sepertimana yang dititahkan oleh baginda kepada saya,” katanya.

Pertikaian penggunaan kepala surat Pejabat Sultan timbul setelah satu kenyataan akhbar berhubung pembatalan perayaan dan penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang ke-60 pada 30 Mac ini dikeluarkan Khamis lalu dan ditandatangani Wan Hashim sebagai Setiausaha Sulit Sultan.

Abdul Halim mendakwa kepala surat tersebut sebenarnya tidak boleh digunakan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran beliau dan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Pun begitu, Wan Hashim enggan mengulas lanjut kemungkinan tindakan susulan bakal diambilnya ekoran laporan polis dibuat Abdul Halim.

Beliau memaklumkan pelantikannya berkuat kuasa Khamis lalu.

“Masa saya buat kenyataan itu (pembatalan perayaan dan penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60 pada) saya terima watikah tuanku dan terus saya menjalankan tugas,” jelasnya.

Wan Hashim adalah Pegawai Kewangan Negeri sejak 1993 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri mulai September 1994 hingga Jun 2001.

Tiada ulasan: