"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mukhriz: Hanya 40% tulisan Raja Petra benar

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Hanya separuh daripada kandungan rencana tulisan penulis blog yang melarikan diri ke luar negara Raja Petra Kamaruddin adalah berdasarkan fakta, manakala selebihnya sengaja ditokok tambah, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata perkara itu diakui sendiri Raja Petra, yang juga dikenali sebagai RPK, dalam perjumpaan mereka beberapa tahun lepas.

“Beberapa tahun lepas, saya bertanya kepadanya tentang beberapa laporan yang beliau tulis. Saya tanya ‘dari mana anda dapat fakta berkenaan’ dan berkata secara selamba bahawa rencana tulisannya hanya mengandungi 40 peratus fakta dan selebihnya beliau tokok tambah,” kata Mukhriz kepada pemberita selepas merasmikan Adventure Kayak Race (Akar) Jerlun di sini hari ini.

Oleh itu, kata Mukriz, beliau membuat andaian bahawa rencana lain tulisan Raja Petra juga adalah sama tarafnya.

Mukhriz, yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata, beliau percaya penulis blog itu dibiayai sebuah dana atau yayasan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai hubungan dengannya.

“Sepanjang pengetahuan saya, berdasarkan cara hidup beliau, RPK seorang yang cukup simple, tapi apabila beliau mampu tinggal di pangsapuri di London selama beberapa bulan, tentu ada sumber yang membiayainya,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin berkata polis akan bekerjasama dengan Interpol bagi menahan Raja Petra mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.

“Polis ada waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, jadi kita ada kuasa untuk menahannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” kata beliau ketika dihubungi Bernama.

Katanya, polis telah mengenal pasti lokasi Raja Petra bersembunyi di negara itu, namun beliau enggan mengulas mengenainya.

Polis juga akan merakamkan kenyataan individu termasuk Datuk Zaid Ibrahim, ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, yang mempunyai kaitan dengan Raja Petra, dalam tempoh terdekat, kata beliau.

Bakri bagaimanapun berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pihak yang membiayai penulis blog itu hidup di London.

“Kita akan siasat berdasarkan rakaman setiap percakapan individu yang mempunyai maklumat mengenai Raja Petra dalam tempoh terdekat, termasuk mereka yang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra dibiayai PKR.

Raja Petra menghilangkan diri daripada dihadapkan ke muka pengadilan selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui portal berita Malaysia Today.
-Bernama-

Tiada ulasan: