"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perpaduan Melayu: ‘Kickdefellanikaziz idea nakal, tak wajar sisih Nik Aziz’

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 8 Julai:
Blogger Kickdefella menegaskan pandangan agar beliau gerakkan kempen “Kickdefellanikaziz”, yang merujuk kepada usaha menyingkirkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “idea nakal Utusan” semata-mata kerana perpaduan Melayu tidak boleh dicapai hanya dengan menyisihkan Mursyidil Am PAS itu.

Sambil menolak tanggapan bahawa wujudnya gerakan “Kickdefellanikaziz” yang ditujukan kepada usaha menggulingkan Nik Aziz, Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, usaha ke arah perpaduan orang Melayu tidak seharusnya membawa kepada perpecahan susulan hanya kerana mengetepikan peranan individu atau golongan tertentu.

“Itu (Kickdefellanikaziz) idea nakal Utusan Malaysia kerana... bagi saya itu satu idea yang nakal, bukan idea jahat tetapi idea yang nakal.

“Falsafah saya, ketika kita bercakap mengenai perpaduan dan penyatuan ke depan orang Melayu, kita bukannya mahu memecahkan lagi orang-orang Melayu,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kickdefella terus menjadi perhatian kerana terus-menerus menulis tentang kedudukan politik di Kelantan yang diterajui PAS sejak dua dekad lalu.

Beliau merupakan bekas pegawai perhubungan awam agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan dipecat dari kedudukan itu akhir tahun lalu.

Ketika itu agensi tersebut diterajui oleh menantu Nik Aziz yang turut meletakkan jawatan awal tahun ini.

Tulisan Mei lalu mencetuskan kontroversi apabila Kickdefella mendakwa wujudnya usaha untuk menjatuhkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan dana kira-kira RM4 juta, isu yang sedang disiasat oleh Suruhankjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam tulisan terbarunya semalam, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan menerusi kolum mingguan “Cuit” berkata, beliau dan Syed Azidi telah membincangkan aspek perpaduan orang Melayu dalam senario politik semasa dengan panjang lebar baru-baru ini.

“Beliau (Syed Azidi) adalah penyokong properpaduan. PAS-Umno perlu disatukan. Kita kena cari jalan, katanya bersungguh-sungguh ikhlas.

“Kami semua bersetuju, PAS dan Umno perlu disatukan demi kepentingan ummah. Insya-Allah, kami akan berusaha ke araj itu.

“Tapi, sebelum itu mungkin Syed Azidi perlu kickdefellanikaziz terlebih dahulu...” tulisnya.

Tulisannya juag menyentuh bahawa seorang pemimpin PAS pernah memberitahunya, lambat laun PAS dan Umno perlu bersatu juga.

“Tapi saua lata bila? Jangan tunggu nasi menjadi bubur. Beliau berdiam.

“Ada yang mencadangkan Nik Aziz perlu disingkirkan daripada PAS. Beliau ialah penghalang terbesar ke arah perpaduan itu.

“Tahun depan ialah tahun pemilihan PAS. Saf baru PAS perlu diatur dari sekarang. Sebelum PRU-13, PAS memerlukan kepimpinan baru yang properpaduan. Umno-PAS perlu disatukan,” katanya.

Syed Azidi berkata mengambil kira kedudukan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan beliau merupakan antara tokoh penting dalam PAS.

Sehubungan itu katanya peranan beliau dalam soal perpaduan Melayu yang banyak diperkatakan sekarang tidak boleh diketepikan.

Nik Aziz merupakan merupakan pemimpin tertinggi dan utama, yang secara terbuka menentang soal kerajaan perpaduan anatara PAS-Umno-BN.

Nik Aziz telah melahirkan bantahan beliau secara terbuka dalam muktamar tahunan PAS 2008 dan 2009.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya pertengahan bulan lalu sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-56, Nik Aziz berkata, pihaknya tiada minat langsung untuk menerokai usaha tersebut.

Bagaimanapun menurut beliau, kebimbangan mengenai isu kerajaan perpaduan pernah wujud di peringkat awal selepas pilihan raya umum 2008 dan ketika Pakatan Rakyat dibentuk, tetapi kini tidak, di mana usaha ditumpukan untuk memperkukuhkan ikatan PAS-DAP-PKR itu.

Menteri Besar Kelantan mengulangi pengalaman PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1971 ekoran permintaan daripada Allahyarham Tun Razak ketika itu.

“Bila kami masuk BN, PAS Kelantan jadi empat. Bila Umno rasa gagah, tendang kami. Ini Umno,” katanya.

“Sekarang ini pilihan raya umum ke-12, (selpas) lima buah negeri jatuh, dia minta PAS masuk balik. Saya kata ‘I know who are you’, penipu kamu... tidak boleh,” katanya.

Bagaimanapun tegas Nik Aziz, keputusan menolak menyertai kerajaan perpaduan bukan keputusan beliau seorang semata-mata.

Malah kata Nik Aziz, beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Kelantan selagi ditekan oleh Umno agar berhenti dengan secepat yang mungkin.

Pemimpin berusia 79 tahun ini akan genap 20 tahun menerajui Kelantan akhir tahun ini.

Tiada ulasan: