"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS adakan pemukiman perkemas jentera

PAS akan mengadakan pemukiman tiga hari mulai hari ini bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Naib Presidennya Salahuddin Ayub (kiri) berkata, pemukiman itu antaranya bagi memperkemaskan jentera pilihan raya parti Islam itu.

"Ia lebih untuk melihat semula keberkesanan kita selama setahun dan menyusun langkah ke depan," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Menurut Salahuddin, pemukiman yang melibatkan semua ahli jawatankuasa pusatnya itu akan turut membincangkan beberapa isu-isu dalaman parti.

Bagaimanapun perkara tersebut enggan didedahkannya dengan alasan ia merupakan perkara sulit.

"Semua sesi tertutup kepada media," jelas Salahuddin lagi.

Malaysiakini difahahamkan, pemukiman yang dilangsungkan di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan itu akan dimulakan selepas mesyuarat bulanan jawatankuasa pusatnya di tempat sama.

Beberapa kertas kerja akan dibentangkan seterusnya dibuka kepada perbincangan.

Kali terakhir PAS dilaporkan mengadakan pemukimannya pada tahun lepas di Alor Setar, antaranya membincangkan isu kelab penyokongnya yang kini dinamakan sebagai dewan dalam parti itu.

Sementara itu,
Harakahdaily melaporkan semua pimpinan utamanya, termasuk mursyidul am, presiden dan ahli-ahli majlis syura dijangka menyertai pemukiman itu.

"Fokus kita kali ini adalah membincangkan pengundi luar bandar khasnya pengundi Melayu," Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dipetik sebagai berkata.

Akhbar web rasmi parti Islam itu juga difahamkan, satu kajian terperinci dibuat oleh Ilham Centre, sebuah badan penyelidikan bebas, bagi membantu PAS membuat penilaian dan keputusan dalam pemukiman kali ini.

"Kita telah mendapat hasil yang menarik berdasarkan kajian kita di Parlimen Tanjung Karang dan kita telah serahkan kepada Pemuda PAS yang telah meminta kita membuat kajian ini," kata seorang pengarah NGO itu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: