"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sotong pilih Jerman, siapa lebih gagah?

Siapakah bakal memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara Uruguay dan Jerman awal pagi ini?

Walaupun kedua-dua mereka tewas pada peringkat separuh akhir, namun kedua-dua pasukan dilaporkan bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk memenangi perlawanan tempat ketiga itu nanti.

Bagi Jurulatih Uruguay Oscar Tabarez dipetik berkata perlawanan awal pagi ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa ramalan Paul, si sotong kurita adalah salah.

Katanya perlawanan awal pagi ini bukan sahaja mengalahkan Jerman, tetapi sekaligus mengalahkan ramalan Paul.

Semalam Paul dilaporkan telah membuat ramalan bahawa Jerman bakal merangkul tempat ketiga dalam kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Jerman lebih gagah?

Persoalannya, apakah skuad bimbingan Oscar mampu untuk menewaskan Jerman yang dipimpin oleh Joachim Loew?

Sejarah pertemuan antara kedua-dua negara menyaksikan Jerman (termasuk Jerman Barat) memenangi enam daripada lapan perlawanan.

Baki dua daripada lapan perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri.

Justeru, di atas kertas Jerman kelihatan lebih gagah berbanding Uruguay. Ini kerana skuad dari Amerika Latin itu tidak pernah memenangi sebarang perlawanan.

"Pasukan Jerman saya tengok diaorang egolah abang. Uruguay mesti menang," kata seorang jurujual ketika ditemui Malaysiakini petang ini.

Manakala seorang lagi jurujual yang ditemui Malaysiakini di Bangsar memilih pasukan Jerman kerana "permainan skuad itu bagus".

Malah jurujual itu turut menjangkakan Jerman akan menang tipis 1-0 ke atas Uruguay yang juga dikenali sebagai 'La Celeste'.

Jentera Uruguay, awal pagi ini dijangka diperkuatkan dengan kehadiran semula penyerang berbisanya, Luis Suarez yang digantung satu perlawanan akibat 'menyelamatkan' pintunya dari dibocori oleh pemain Ghana sewaktu pertemuan mereka di peringkat suku akhir.

Bagi Jerman pula, mereka juga turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain tengah mereka Thomas Mueller yang turut digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning.

Uruguay sudah pastinya akan berusaha untuk memenangi perlawanan itu awal pagi ini dan seterusnya merangkul tempat ketiga.

Piala dunia tahun ini merupakan persembahan terbaik mereka sejak 40 tahun lalu di mana mereka pernah memasuki peringkat separuh akhir pada tahun 1970.

Formasi 4-3-3 lawan 4-5-1

Seperti biasa awal pagi nanti, selain Suarez, Uruguay bakal menurunkan penyerang berbisa Atletico Madrid Diego Forlan dan Alvaro Fernandez bagi merobek gawang Jerman.

Selain itu, kesebelasan utama mereka juga bakal disenaraikan ialah Egidio Arevalo, Diego Perez dan Edinson Cavani yang akan mengemudi bahagian tengah.

Oscar, kemungkinan akan menggunakan formasi 4-3-3 dalam perlawanan awal pagi esok.

Manakala Jerman pula, mereka sudah pastinya tidak dapat melupakan kekalahan tipis kepada Sepanyol tempoh hari.

Oleh itu, bagi menebus kekecewaan itu, mereka bakal menurunkan kesebelasan pemain terbaik menentang pasukan dari Amerika Selatan itu.

Selain Mueller, Joachim juga bakal menurunkan kesebelasan utama termasuk Lukas Padolski, Mesut Ozil, Miroslav Klose untuk mejaringkan gol dengan mengekalkan formasi 4-5-1.

Formasi itu digunakan sewaktu menewaskan pasukan Argentina tempoh hari.

Selain merebut tempat ketiga, kedua-dua pasukan itu juga turut berpeluang untuk merebut anugerah penjaring terbanyak dalam edisi piala dunia kali ini.

Diego Forlan, Miroslav Klose dan Thomas Mueller masing-masing menjaringkan empat gol, kurang satu gol berbanding Wesley Scneijder dan David Villa yang menjaringkan lima gol.

Jika ketiga-tiga pemain tadi menjaringkan dua atau lebih gol maka, kemungkinan salah seorang daripada mereka bakal mendakap anugerah tersebut.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: