"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda PAS tubuh Lajnah Felda ‘terokai’ sokongan politik peneroka

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 10 Julai
: Dewan Pemuda PAS pusat menubuhkan biro baru — Lajnah Felda — dilihat sebagai langkah memikat sokongan generasi muda di kawasan pembangunan perladangan itu menjelang pilihan raya umum ke-13.

Sayap PAS itu memutuskan perkara itu pada mesyuarat bulannya hari ini bagi membantu peneroka Felda dan generasi keduanya ekoran isu-isu terbaru sejak kebelakangan ini khusunya berkaitan dengan masalah kewangan.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Azman Shapawi Abdul Rani pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan mereka di sini hari ini.

“Lajnah ini akan mengambil berat golongan peneroka dan anak-anak mereka yang selama ini dianggap sebagai sokongan hayat Barisan Nasional (BN), yang tidak membantu mereka dengan menyeluruh, kalau BN ada membantu pun bukan untuk membangunkan mereka,” katanya.

“Tidak semua yang mendapatkan faedah, cuma yang terpilih sahaja,” kata beliau.

Beliau berkata peneroka-peneroka Felda sebenarnya tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada BN sejak lima dekat lalu, walaupun pengundi di Felda menjadi sandaran ikatan itu selama ini.

Kata beliau lajnah itu akan bergandingan dengan Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) yang diketuai oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Mazlan Ahmad.

“Kami akan bekerjasama dengan Anak yang sudah lama memperjuangkan isu-isu Felda,” katanya.

Ketika ditanya sama ada langkah Dewan Pemuda ini bertujuan mendapatkan sokongan golongan muda daripada penguasaan BN, Shapawi berkata, peneroka-peneroka Felda mempunyai banyak masalah yang belum diselesaikan.

“Bagaimanapun kami bukan memaksa mereka mengundi kami, terpulang kepada mereka untuk mengundi siapa... tapi dengan mengambil kira keadaan semasa seperti masalah kewangan yang didakwa dialami Felda, kami hendak membantu mereka,” katanya.

Tiada ulasan: