"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan cabar BN hadapi isu ‘bagaikan anak jantan’

Salahuddin mencabar pemimpin BN semalam. - Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 6 Julai: Pemimpin Pakatan Rakyat malam tadi mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya berdepan dengan isu-isu semasa bagaikan “anak jantan”, bukannya menggunakan kuasa dan undang-undang termasuk Akta Hasutan bagi menghalang mereka daripada terus menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, tindakan kerajaan BN menggunakan Akta Hasutan adalah semata-mata untuk mengekang dan menghalang pergerakan pemimpin PR.

“Saya dan 15 ahli Parlimen PR lain didakwa di bawah Akta Hasutan dan semua dokumen serta fakta berkaitan akan disiasat di bawah akta tersebut.

“Kenapa kerajaan BN menggunakan Akta Hasutan? Ini kerana ia mudah untuk memenjarakan kami. Ingin saya tegaskan bahawa kami tidak akan lari ataupun menyerah kalah walaupun berdepan dengan risiko ditangkap,” katanya.

Yang terbaru akhbar salah satu komponen PR, Suara Keadilan berhadapan dengan risiko kehilangan permit penerbitan.

Permit yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu tidak diperbaharui lagi.

Beliau juga memberikan amaran kepada kerajaan BN supaya tidak memberi tekanan kepada PR.

“Lagi kuat BN tekan, lagi kuat PR akan menentang mereka. Tindakan BN secara terus menekan PR membuktikan bahawa BN sudah berada di ambang kemusnahan.

“Kenapa BN halang PR? Ini kerana mereka sudah tidak mampu menghalang hujah-hujah kami kepada rakyat.

“Kami tidak bawa hujah-hujah di kedai kopi ataupun tepi jalan tapi hujah yang kami bawa adalah bersama fakta sebab itu pemimpin PR dihalang,” katanya ketika berucap pada Forum Keamanan Gaza anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wangsa Maju di Gombak dekat sini, malam tadi.

Turut hadir Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR Azmin Ali, Pengarah Strategik PKR Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan PKR Datuk Dr Tan Kee Keong, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Ketua AMK Fariz Musa dan sukarelawan Gaza Mustafa Mansur.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mempersoalkan tindakan kerajaan menyerahkan dua blok minyak kepada Brunei dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar kepada Singapura.

“Kerajaan cakap status dua blok minyak iaitu blok L dan M adalah kawasan bertindih tapi senyap-senyap serahkan kepada Brunei.

“Kalau kawasan bertindih kenapa kerajaan tidak lawan, Pulau Batu Putih dan Pulau Sipadan kita terima tetapi kenapa dua blok minyak ini diserahkan bulat-bulat kepada Brunei? Tidak sangka begitu mudah kerajaan menyerahkan kedua-dua blok minyak tersebut.

“Selain itu dalam isu penyerahan Stesen KTMB di Tanjung Pagar, bagaimana kerajaan boleh menggadaikan stesen tersebut kepada Singapura? Tindakan kerajaan ini merupakan satu pengkhianat kepada Kedaulatan Negara,” katanya dihadapan kira-kira 500 orang yang menyertai forum tersebut.

Dalam pada itu, Tian Chua mahu rakyat negara ini agar menolak segala bentuk penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak sama ada di dalam ataupun luar negara.

Katanya, penindasan dan kezaliman harus ditentang oleh semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

“Kita harus tegas dan jangan sesekali berkompromi dalam menentang penindasan dan kezaliman yang berlaku.

“Segala bentuk kezaliman termasuk kekejaman yang dilakukan rejim Zionis di Palestin atapun dimana-mana harus ditentang oleh semua rakyat.

“Asalkan ada pelanggaran hak asasi manusia kita sebagai rakyat harus bangkit dan bertegas dalam perkara ini,” katanya dengan merujuk kepada serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara milik Turki yang sedang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza Mei lalu.

Tian Chua berkata PKR akan terus mendidik masyarakat tentang hak asasi manusai tersebut kerana ia adalah tanggungjawab bersama dalam menentang kezaliman yang berlaku.

“Tidak kisah orang Islam ataupun bukan Islam kita semua harus prihatin terhadap isu ini.

“Selain itu, jika berlaku kezaliman dihadapan kita jangan hanya mendiamkan diri sebaliknya menentang kezaliman tersebut.

“Ini kerana penindasan dan kezaliman yang dilakukan adalah fahaman rasis rejim zionis yang menzalimi rakyat,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: