"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengharaman judi tak sama dengan arak atau babi

Isu pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dan babi, memandangkan secara jelasnya tidak ada mana-mana agama yang membenarkan kegiatan judi dijalankan. Ini kerana tabiat judi itu mengundang lebih banyak keburukan dan kemudaratan seperti pergaduhan, permusuhan dan perbalahan sesama manusia, selain ia turut melingkari setiap peringkat usia.

Bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, menegaskan dalam hukum Islam jelas menyatakan judi merupakan perbuatan keji dan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi berdasarkan perintah Allah.

"Surah Al-Maidah, ayat 90-91 membawa maksud yang menyatakan judi merupakan amalan yang berasal dari syaitan yang mendorong manusia lalai kepada Allah, selain menggalakan permusuhan dan kebencian di antara manusia," tegas beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, amalan judi mengundang kepada permusuhan dan pergaduhan apabila mereka yang kalah berjudi akan berasa tidak puas hati dengan yang menang, orang yang berhutang untuk berjudi gagal menjelaskan hutang kepada pemberi hutang dan berbagai-bagai sebab permusuhan akibat judi," tegas beliau.

Ustaz Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang menyokong pemberian lesen judi atas alasan kononnya amalan berjudi merupakan budaya orang bukan Islam. Kenyataan dan tindakan bekas Perdana Menteri itu, kata beliau seolah-olah Mahathir mewakili orang bukan Islam, sedangkan beliau mengaku beragama Islam dan ianya menjurus ke arah dosa.

"Apa yang dikatakan beliau, dan juga Rais (Dato' Seri Rais Yatim) tentang kononnya orang Cina mahu berjudi sudah menjadi dosa. Dua kali berdosa. Pertamanya, berdosa kerana menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Keduanya, memandai-mandai mempertahankan apa yang dikatakan hak orang bukan Islam, sedangkan mereka (bukan Islam) tahu ia tidak dibenarkan pada agama mereka juga," tegas beliau.

Justeru, Ustaz Ahmad menyelar sikap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengaku beragama Islam bertindak mengeluarkan hujah menggunakan alasan untuk kepentingan bukan Islam bagi meluluskan pemberian lesen judi tersebut.
-detikdaily-

Tiada ulasan: