"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak usah campur urusan PKR, kata MB Selangor

SHAH ALAM, 29 Jun: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta pihak yang tiada kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran parti itu.

Katanya urusan pelantikan dalam parti merupakan proses pembaharuan dan penambahbaikan terhadap kepimpinan hanya boleh ditentukan oleh mereka yang terbabit dalam parti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan oleh beberapa pihak yang meminta beliau berundur sebagai Menteri Besar selepas melepaskan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor.

“Tidak menjadi masalah sekiranya Menteri Besar tidak dilantik menjadi Pengerusi MPN di sesebuah negeri itu kerana ia adalah satu reformasi yang dilakukan oleh PKR,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Pada Pemukiman PKR, Ahad lepas, Abdul Khalid melepaskan jawatan Pengerusi MPN Selangor dan digantikan oleh naib presiden PKR Azmin Ali manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik menerajui MPN Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa serta-merta.
-Bernama-

Tiada ulasan: