"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sesat: Salahuddin cabar Shafie debat

Dzulfikar & Nazri
KUALA LUMPUR, 5 Julai:
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyediakan pentas terbuka untuk berdebat berhubung status PAS atau Umno yang sepatutnya dianggap sesat.

"Saya cabar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini untuk berdebat secara terbuka, biar rakyat, kita (PAS) atau Umno sesat," tegas beliau di Lobi Parlimen, petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna sepatutnya menjawab dakwaan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman secara berhujah, bukannya dakwaan kosong seperti yang dibuatnya semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria pula mempersoalkan dasar sekularisme serta nasionalisme yang diperjuangkan oleh Umno sendiri.

"Kalau PAS parti ajaran sesat, kita tengok sumber PAS itu al-Quran, as-Sunnah, ijmak serta qias.

"Kalau itu dikatakan sesat, Umno ini bagaimana," soal beliau sambil menuntut Shafie menunjukkan perkara yang sesat menurut Perlembagaan PAS.

Dalam perkembangan yang sama, Mazlan Aliman selaku Ketua Penerangan PAS Johor dilaporkan membuat laporan polis berhubung dakwaan tidak bertanggungjawab menteri terbabit.

Pada suatu kenyataan, Mazlan turut menyifatkan kenyataan menteri terbabit sebagai biadap dan keterlaluan pada sebuah parti politik yang sah berdaftar di tanah air, seperti PAS.

Ini kerana, beliau berkata, menteri itu celupar mendakwa PAS hanya mementingkan kemenangan kerusi Dun dan Parlimen, berbanding kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, beliau bertindak seperti Salahuddin, iaitu bersedia untuk berdebat secara terbuka dengan Shafie berhubung kepincangan urus tadbir Felda.

Tiada ulasan: