"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usah sangka kemenangan PRU 2008 berulang mudah, MB Kedah nasihat Pakatan


SHAH ALAM, 29 Nov: Ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) mengadakan pertemuan di sini hari ini dengan Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi amaran pemimpin-pemimpin perikatan tiga parti itu agar tidak mengharapkan kemenangan 2008 akan berulang dengan mudah.

“Pakatan tidak boleh terlalu yakin bahawa mereka akan kekal berkuasa,” kata Menteri Besar Kedah (gambar) itu.

“Jadikan pilihan raya umum 2004 sebagai contoh, di mana PAS kehilangan Terengganu dan menang tipis di Kelantan,” kata beliau seolah-olah senada dengan pandangan Penasihat DAP Lim Ki Siang ketika merasmikan Konvensyen DAP Selangor semalam.

Pada 8 Mac 2008, BN kehilangan empat lagi negeri selepas Kelantan dikuasai PAS sejak 1990 manakala di Parlimen pula ia hilang penguasaan majoriti dua pertiga.

Bagaimana Azizan menekankan bahawa pengundi-pengundi Kedah sudah mula menyesuaikan diri dengan pentadbirannya, yang menyaksikan peningkatan dalam hasil pulangan pembalakan.

“Pengundi-pengundi Kedah sudah selesa dengan kerajaan negeri Pakatan Kedah yang mengamalkan ketelusan dan dengan jayanya menambah hasil negeri daripada pembalakan,” kata Azizan.

Semalam, Lim memberi DAP Selangor amaran bahawa PR kemungkinan akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak bersatu padu sambil mengingatkan konvensyen kepimpinan negeri agar belajar daripada pengalaman Terengganu pada 2004.

Penasihat DAP itu juga meminta perwakilan barisan menyokong kepimpinan negeri yang menganggotai kerajaan negeri Selangor sebagai tanda perpaduan.
“Bolehkah Umno dan Barisan Nasional (BN) menang balik Selangor dalam pilihan raya umum akan datang? Adakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak boleh ditembusi dan tidak dapat dikalahkan?” kata Lim ketika berucap membuka Konvensyen DAP Selangor.

“Saya tahu ada orang yang percaya bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh hilang kawalan dan kuasa di Selangor dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini.

Beliau mengingatkan para perwakilan konvensyen bahawa PAS tidak menjangkakan ia akan kehilangan Terengganu dalam pilihan raya umum 2004 selepas memperoleh kemenangan tidak disangkakan sama sekali pada 1999.

“Pada pilihan raya umum 1999, PAS tidak pernah menjangkakan kuasa menang di Terengganu tetapi menyapu bersih 28-4 di Dewan Undangan Negeri,” kata Lim.

“Pada pilihan raya umum 2004, PAS tidak menjangkakan akan kehilangan kuasa di Terengganu tetapi tewas dengan keputusan terbalik 4-28, disapu oleh Umno dan BN,” kata beliau.

Lim juga berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan BN akan menang balik Selangor memandangkan PR berada dalam keadaan tunggang-langgang.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan-kerajaan negeri PR telah berjaya mengatasi serangan bertubi-tubi dilemparkan terhadap pentadbiran mereka.

“Negeri-negeri Pakatan Rakyat telah berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang tiga tahun pentadbiran, tetapi dengan jayanya telah mengatasi kesemua percubaan mereka yang mahu mengganggu usaha memperbaharui pentadbiran negeri-negeri (yang terletak di bawah mereka),” kata Khalid.

“Saya berharap persidangan kali ini akan menjadi platform untuk berkongsi pengalaman kita dan untuk memperbaiki perkhidmatan-perkhidmatan kami bagi memperkukuhkan pentadbiran menghadapi pilihan raya umum ke-13,” kata beliau lagi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menasihatkan negeri-negeri PR agar bersatu menghadapi media arus perdana yang cuba mencetuskan sentimen rakyat terhadap perikatan itu.

“Negeri-negeri Pakatan Rakyat mesti berlawan menghadapi serangan media arus perdana yang terus-menerus memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai,” kata beliau yang juga Mursyidul Am PAS.

Persidangan hari ini dihadiri oleh Khalid, Nik Aziz, Azizan dan Lim Guan Eng serta Exco Kerajaan Negeri dan waki daripada subsidiari negeri.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: