"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki rentung dibakar dalam kenderaan pacuan empat roda di Ipoh

IPOH: Sepasukan anggota bomba yang memadamkan kebakaran sebuah kenderaan pacuan empat roda terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang rentung di tempat duduk belakang kenderaan itu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ipoh Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, kejadian berlaku di lorong belakang sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Kampung Rapat pada kira-kira 1.15 pagi tadi.

Pasukan bomba itu bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kebakaran sebuah kenderaan, namun apabila api yang marak itu berjaya dipadamkan mereka menemui mayat tersebut, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat itu dikenal pasti sebagai S. Jegadeson, 34, dari Taman Botani, di sini dan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Dia dipercayai dibakar hidup-hidup dan ketika ditemui mulutnya ditutup dengan pita pelekat, kata Dzuraidi sambil menambah identiti lelaki itu turut disahkan isteri Jegadeson yang mengecam mayatnya menerusi pakaian dan cincin yang dipakai.

Sementara itu dalam satu lagi kejadian, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditembak mati oleh individu tidak dikenali di Taman Bertuah, Kampung Tawas petang semalam.

Dzuraidi berkata, M. Regan ditemui mati dengan tiga kesan tembakan iaitu satu di kepala dan dua di bahagian dada.

"Mangsa seorang penganggur dan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan menyamun," katanya.

Mengulas kejadian itu, Dzuraidi berkata, ia berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika Regan sedang minum bersama tiga rakan sebelum dihampiri dua lelaki.

Seorang daripada lelaki tersebut bersenjatakan sepucuk pistol yang kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa. Dia mati di tempat kejadian, katanya.

Kedua-dua suspek yang memakai topeng kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal, kata Dzuraidi.

Beliau berkata, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dzuraidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kes supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak melalui nombor telefon 05-2451522 untuk membantu siasatan.
-sinarharian-

Tiada ulasan: