"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Demo air: Tuntut hak bukan galak jenayah

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 4 Dis: Perhimpunan aman "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat" yang dirancang Kerajaan Selangor bukan mahu menggalakkan perbuatan jenayah, tetapi bagi menuntut hak rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menegaskan demikian sebagai menafikan dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah bahawa himpunan esok hanya "menggalakkan perbuatan jenayah" di kalangan masyarakat.

"Kebebasan mengadakan perhimpunan aman seperti yang termaktub mengikut Fasal 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan atas dasar ini Kerajaan Negeri telah membuka ruang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan mereka kepada usaha mengambilalih pengurusan air dari syarikat swasta yang nyata gagal membekal air bersih dengan harga yang berpatutan," katanya.

Merujuk kepada beberapa kes yang dianjur beberapa NGO sebelum ini, mahkamah memutuskan tidak salah bagi rakyat untuk berhimpun di masjid yang merupakan rumah ibadat bagi umat Islam.

Rakyat Selangor serta pimpinan negeri katanya hanya mahu mendapatkan perhatian Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tempat rakyat mencari keadilan dan berlindung supaya hak rakyat tidak diketepikan dalam isu air apatah lagi dalam ketika hidup rakyat semakin perit dengan harga barangan asas yang meningkat.

"Tujuan ini jauh menyimpang dari anggapan Ketua Polis Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri berharap pihak polis akan mengambil sikap professional ketika memantau perhimpunan aman esok dan semua pemimpin yang hadir akan memberi kerjasama pihak berkuasa agar semua berjalan lancar," katanya lagi.

Kerajaan Negeri juga menyeru agar rakyat yang bersama kerajaan Negeri bertenang dan sentiasa bersikap rasional ketika menyertai perhimpunan aman tersebut esok.

Makluman juga telah dibuat kepada polis termasuk, Ketua Polis Kuala Lumpur, Pejabat polis Daerah Dang Wangi dan Brickfields, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council).

Tiada ulasan: