"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Subsidi IPP RM15.1b, rakyat cuma RM11 bilion

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan memberi subsidi Petronas kepada syarikat konsesi penjana kuasa bebas (IPP) sebagai membelakangkan rakyat.

Anwar ketika berbahas di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Dewan Rakyat berkata, subsidi sebanyak RM15.1 bilion berbanding subsidi minyak kepada rakyat yang hanya sebanyak RM11 bilion jelas tidak munasabah.

"Subsidi kepada IPP RM15.1 bilion, subsidi kepada rakyat hanya RM11 bilion. Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan?" katanya yang juga ketua pembangkang di Parlimen, semalam.

Anwar turut mempertikai dasar penswastaan yang dilihat hanya memberi kepentingan kepada syarikat konsesi yang sedia kaya, sehingga kerajaan tidak berupaya untuk mengkaji dan membuat runding semula perjanjian yang termeterai.

"Kita tidak menentang penswastaan tapi perlu lihat kesan tarif dan kerugian kepada negara dan juga kepada Petronas ekoran keengganan kerajaan mengkaji dan runding semula dengan syarikat konsensi IPP. Sikap yang sama dilihat dalam isu air di Selangor," kata beliau.

Dakwa beliau juga, kerajaan seolah-olah tidak mempunyai keupayaan untuk mengkaji dan mengadakan runding semula semua perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar mengkaji semula perjanjian dengan IPP dan juga syarikat konsesi air agar rakyat tidak terbeban dengan dasar penswastaan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut membidas P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) yang tidak memihak kepada pengundi Hulu Selangor kerana menyokong tindakan Syabas yang berhasrat menaikkan taraf air sebanyak 31 peratus.

Sebelum itu, usul memotong gaji Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dikemukakan Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS- Kuala Selangor), namun tidak dipersetujui wakil Barisan Nasional.

Tiada ulasan: