Safar Jumaat
Kedah terpingga-pingga. Mereka sudah tahu siapa yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, tetapi mereka tidak nampak apakah peranan sebenarnya. Sehingga hari ini, sejak ia diumumkan dua bulan yang lalu, Dato' Ahmad Basha Md Hanipa hanya memanggil mesyuarat Badan Perhubungan dan tidak langsung mempunyai gerak kerja yang teratur.
Malahan, Ahmad Basha dilihat berseorangan. Dia tidak mempunyai kawan-kawan di Kedah sekarang jika dibandingkan dengan rakan-rakan sejawatan di negeri lain, sama ada di negeri yang BN menang atau pun di negeri yang BN kalah
Khabarnya, perlantikan Ahmad Basha dibuat oleh Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana mengenangkan Ahmad Basha adalah penyokong Najib. Bukan kerana kemampuan dan kewibawaan Ahmad Basha.
Peringkat awalnya, banyak pihak di Kedah mahukan Najib mengekalkan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mhdzir Khalid sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri tetapi, disebabkan bekas Perdana Menteri (PM) tidak berminat dengan Mhdzir, maka Najib tidak berani menghadapi risiko membuat perlantikan tersebut terhadap Mhdzir.
Kenapa Dr. Mahathir kurang berminat dengan Mhdzir? Ini disebabkan Mhdzir dikatakan memainkan peranan penting memastikan Dr. Mahathir tidak menang bertanding menjadi perwakilan tujuh (G7) Umno Bahagian Kubang Pasu – dalam era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno.
Kalau betul cerita ini, nampaknya Dr. Mahathir masih berperanan dalam politik Umno dan politik Barisan Nasional (BN). Malahan, perlantikan anaknya, Dato' Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah jelas membuktikan Najib mahu selamat dari serangan Dr. Mahathir.
Umum tentunya mengetahui, Dr. Mahathir suka menyerang sesiapa yang tidak disukainya. Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah salah satu contoh, jika akhirnya Abdullah terpaksa berundur kerana desakan dari Dr. Mahathir.
Ketika ini, khabarnya Ahmad Basha hanya membenarkan Mukhriz berurusan dengan tiga sayap parti di Kedah, iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri. Maknanya, Mukhriz jangan cuba memandai-mandai mahu campur tangan dalam soal ketua-ketua bahagian yang secara otomatik menjadi Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno.
Ahmad Basha juga bimbang dengan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah yang dikatakan aktif bergerak ke seluruh bahagian-bahagian. Walaupun sudah ada ikrar dari kepimpinan Mubarak Kedah yang diketuai Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim bahawa mereka tidak berminat untuk ditawarkan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, namun gesaan dan cadangan yang diutarakan kepimpinan Mubarak masih diperap.
Mukhriz juga menghadapi masalah sebenarnya di Kedah. Pertama dia bukan berjawatan di peringkat bahagian. Sukar juga baginya untuk memulakan langkah kerana pengalaman tidak ada untuk bekerja. Mukhriz tidak pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian walaupun pernah bertanding, namun dia tewas.
Ketika Ahmad Basha terkial-kial mahu memulakan langkah, nasib baik Naib Cencelor Universiti Utara Malaysia (UUM) membantu untuk memburuk-buruk imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak – dengan mengaitkan kononnya cukai tanah UUM dinaikkan.
Namun, Menteri Besar sudah memberikan penjelasan walaupun akhbar arus perdana menjadikan ia sebagai isu besar yang bertujuan menaikkan perasaan marah rakyat di Kedah terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat. Mereka timbulkan cerita UUM kurang air sedangkan kegagalan UUM menaik taraf infrastruktur bekalan air adalah punca sebenar mengapa berlaku kekurangan air.
Ketika mereka di UUM sibuk mahu membantu Umno-BN dan dalam masa yang sama menjejaskan imej kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat, mereka sendiri tidak tahu apa peranan mereka di UUM dan apa yang patut mereka buat, jika tidak mahu berlaku tekanan air rendah di UUM.
Jika masa yang mereka ada digunakan untuk melihat sendiri infrastruktur di UUM, tidak sibuk mengulas isu-isu politik dan tidak sibuk mahu menonjolkan populariti dengan kerap menjadi tetamu di televisyen, nescaya tekanan air rendah tidak berlaku di UUM.
Ahmad Basha usah terkejut jika jawatan yang disandangnya terlepas kali ini kerana Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tentunya berazam untuk merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat. Jika Najib tidak berkeyakinan, Ahmad Basha mempunyai kemampuan, walaupun mereka adalah kenalan lama, dan mempunyai sejarah kekeluargaan yang intim, Umno Kedah mungkin akan mempunyai Pengerusi BPUN yang baru tidak lama lagi.
Setakat ini, dua nama disebut-sebut. Pertama Mhdzir Khalid akan dilantik semula dan kedua, Mukhriz. Jika diukur dari dua nama ini, nama Mhdzir Khalid terkehadapan kerana kemampuannya sudah terbukti dan pengalamannya tidak boleh dipandang remeh.
Tetapi halangan yang bakal Mhdzir dan Najib hadapi ialah, serangan dari Dr. Mahathir jika perlantikan ini dibuat oleh Najib. Kata mereka yang mengenali Dr. Mahathir dari dekat, Dr. Mahathir boleh menerima sesiapa sahaja sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah asalkan jangan Mhdzir.
Jadi, Najib kenalah mempunyai sedikit keberanian tetapi keberanian yang sedikit itu mestilah keberanian yang luar biasa, untuk bercanggah dengan kehendak Dr. Mahathir. Pernah sekali Najib bercanggah dengan Dr. Mahathir ialah ketika memilih Tan Sri Mohd Isa Abd Samad sebagai calon mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bagan Pinang, tidak lama dahulu.
Dr. Mahathir tidak mahu Mohd Isa dicalonkan tetapi Najib tidak akur dengan kehendak Dr. Mahathir itu. Adakah keberanian Najib akan dibuktikan sekali lagi kali ini dengan menukarkan Ahmad Basha dengan Mhdzir?
Atau, Najib mahu Dr. Mahathir senyap dengan melantik Mukhriz menggantikan Ahmad Basha kerana Najib sudah diberitahu bahawa Ahmad Basha tidak mempunyai kemampuan untuk mengorak langkah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya?
Kali ini, sekali lagi Kedah akan bergelora dan cita-cita mereka untuk merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat akan hampa dan dihampakan oleh pengundi. Mereka akan terus bergaduh dan masa banyak mereka buang hanya kerana mereka sibuk bergaduh sama-sama sendiri.
Sumber >> Safar Jumaat seorang penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.
-detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan