Subky Abdul Latif
PAS diajak rujuk semula oleh UMNO.
Setelah menjalani tempoh berkasih selepas 13 Mei 1969, UMNO yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Razak meminang PAS dan diijab kabulkan melalui Pilihan raya Umum tahun 1974. Maka PAS menjadi salah satu isteri UMNO yang ramai dalam keluarga Barisan Nasional.
Menjelang pilihan raya umum 1978 UMNO mencari jalan menceraikannya dan mereka pun berpisah.
Dalam pilihan raya 2008 PAS berkasih dengan DAP dan PKR. Setelah berkongsi hidup tanpa nikah dalam tahun 2008 itu di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan maka PAS diijab kabulkan dengan DAP dan PKR dalam perkongsian hidup Pakatan Rakyat.
Dalam tahun 2011 yang mungkin gila talak dan cukup dengan isterinya yang banyak itu mahu rujuk semula dengan PAS. Disuruhnya PAS bercerai dengan DAP dan PKR. Lepas itu kahwin semula dengan UMNO.
Kalau cerai dulu talak satu dan dua, mereka boleh rujuk apa ada persetujuan. Kalau cerai talak tiga, PAS kena berlaki lain dulu sebelum boleh nikah semula dengan UMNO. Syarat kawin semula itu sudah ada kerana PAS sudah berlaki lain.
Jika ia cerai dengan DAP dan PKR, setelah cukup idah, ia boleh nikah semula dengan UMNO.
UMNO lamar semula PAS itu supaya PAS terus perjuangkan Islam sebagai yang dicita-citakan sejak pembentukannya.
Sangka UMNO atau persepsi UMNO, cita-cita itu tidak mungkin diteruskan kerana DAP tak mahu kepada Islam. Walau pun DAP dikata begitu, tetapi mereka sudah nikah. DAP tidak syaratkan buang cita-cita Islam untuk nikah dengannya. Nikah dulu dan mereka boleh bincang dalam kelambu.
Nikah yang mula-mula dulu UMNO janji nak ikut Islam macam janji semua bukan Islam yang hendak nikah dengan orang Islam. Walau pun UMNO itu berbaju Islam, orang Islamlah ertinya, tetapi ia berjanji pada PAS macam orang bukan Islam buat sebelum mereka dinikahkan dengan orang Islam.
Adakah ia tunai janji itu? Ia buatlah sikit-sikit. Tetapi ia macam suami yang culas. Kerana PAS yang jadi isteri desak jangan jadi laki yang culas, ia cari jalan ceraikan PAS.
Sekarang ia ajak PAS nikah semula kerana DAP pada persepsinya tidak akan setuju dengan perjuangan Islam. Tetapi adakah UMNO lebih baik dari DAP dalam melaksanakan Islam secara syumul?
Solat berjamaah itu UMNO sentiasa ada. DAP langsung tidak ada. Puasa pula tidak diketahui ia culas. DAP memang tak puasa.
Di Madinah dulu orang-orang Abdulah bin Ubai dulu solat di belakang Nabi. Di depan Nabi mereka mengaku jadi orang Islam yang setia. Di belakang Nabi mereka bagi orang yang menentang Nabi, mereka berpura-pura saja Islam. Mereka inilah dinamakan munafiq.
Abdullah bin Ubai beri sokongan penuh kepada Nabi untuk bersama dalam perang Uhud. Tengah jalan mereka pulang balik ke Madinah.
Sejak zaman Nabi orang mengaku Islam jenis ini sudah ada dan hinggalah hari ini ia tetap ada.
Orang jenis ini tidak teragak-agak mengaku melaksanakan Islam sama seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin Ubai kepada Rasulullah SAW. Tetapi mereka tinggalkan Uhud sebelum tiba ke Uhud.
Oleh kerana PAS sudah pernah nikah dengan UMNO, maka ia boleh mendakwa akan kesungguhan UMNO dalam ssegala tindak tanduknya termasuklah dalam pelaksanaan Islam.
Ia kata DAP tidak akan bantu PAS dalam kerja-kerja Islam, tetapi apakah UMNO dalam hal ini lebih baik dari DAP? Baiknya cuma ia solat bila orang solat.
UMNO setuju untuk nikah semula dengan PAS kerana PAS nikah dengan DAP. Kalau PAS tidak nikah dengan DAP adakah ia akan ajak jandanya nikah semula.
UMNO tidak pernah menyatakan ia menyesal bercerai dengan PAS. Setengah suami yang terlanjur menceraikan isterinya, selalunya mereka segera menyatakan penyesalan bercerai itu. Cepat-cepat ia berusaha rujuk dan minta maaf atas kejadian itu.
Tetapi UMNO tidak pernah menyesal. Ia hanya kata ia sedih PAS tidak mahu berbaik dengannya tetapi memilih untuk berbaik dengan DAP. Tetapi UMNO tidak pernah mengaku bersalah menyebabkan PAS bercerai dengannya.
PAS tidak dilihat seperti orang gila talak, tetapi yang pura-pura gila talak ialah UMNO yang dipimpin Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan