Harakahdaily
TEMERLOH, 6 Mei: “Apakah saudara juga meminta PAS untuk mendukung segala kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan Umno, sama ada dalam aspek agama Islam atau pengurusan negara supaya tidak digelar sebagai pengkhianat Islam?” tanya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Dr Juanda Jaya dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya.
Beliau melontarkan pertanyaan itu sebagai menjawab balas kepada kenyataan yang dilakukan oleh Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya kelmarin, di mana beliau menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.
Tuan Ibrahim berkata apabila soal perpaduan, penyatuan dan kerjasama diketengahkan, sudah tentunya keadaan akan disifatkan sebagai janggal sekiranya ada pihak yang menentang usaha tersebut, tambahan pula bila mana Islam sendiri telah meletakkan asas yang sangat kukuh ke arah nilai tersebut.
Namun begitu, dengan bersangka baik pada niat Dr Juanda, beliau berpendapat mungkin idea yang dilontarkan olehnya disebabkan perkara itu dilihat daripada aspek penyatuan kaum Melayu, sudah pastinya tidak menepati apa yang dibawa ajaran Islam kerana Islam membina penyatuan yang jauh lebih luas daripada penyatuan kaum.
“Islam sendiri melihat penyatuan Islam melampaui kaum, dan seruan penyatuan universal di atas nama Islam inilah telah berjaya merobohkan asaniyah qaumiyah yang selama ini menjadi penghalang kepada pembanguan sesebuah negara, dan terutamanya bilamana sesuatu kaum merasa cemburu di atas kejayaan kaum lain,” terang Tuan Ibrahim.
Namun, beliau mengingatkan bahawa dalam Islam, penyatuan besar ini telah mencipta satu sejarah bangsa manusia yang hebat bilamana Islam yang sifatnya rahmatul lil Alamin telah berjaya diterima dengan penuh hormat oleh seluruh manusia.
Sebagai seorang mufti, nasihat Tuan Ibrahim, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.
Dari sudut ini, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, kewujudan PAS dan Umno tidak seharusnya dilihat dari sudut perpecahan.
“Kerana kalau ianya dianggap perpecahan kerana wujudnya pelbagai parti politik, sepatutnya yang dipersalahkan ialah kerajaan yang menerima pendaftaran parti-parti politik; tapi ini sudah tentunya ini bertentangan dengan kehendak demokrasi itu sendiri,” jelasnya.
Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Tuan Ibrahim menyeru supaya seharusnya memikirkan persoalan bahawa, “Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, sama ada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”
“Bukankah jauh lebih baik bagi Dr Juanda untuk bertindak menasihati UMNO agar jangan menganiaya negeri yang majoriti umat Islam, seperti Kelantan dengan menyekat royalti minyak milik negeri, bantuan perkapita tahunan mengikut jadual yang telah dimeteraikan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, pelaburan asing dan selainnya?
Lihatlah bagaimana hebatnya Umno menyerang negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, sedangkan sepatutnya kerajaan pusat bersikap adil dengan pilihan rakyat,” tambah beliau.
Di samping itu, Tuan Ibrahim juga menyampaikan pesanan kepada Dr Juanda agar tidak mengaitkan PAS dengan pelbagai tuduhan yang tidak tepat seperti melihat parti Islam sebagai punca kegagalan penyatuan Melayu kerana ia adalah tidak adil dan bakal mengundang pelbagai reaksi ahli-ahli dan para pimpinan PAS yang masih terasa luka lama akibat ditendang keluar Barisan Nasional pada 1978.
“Melihat PAS sebagai punca gagal penyatuan Melayu juga adalah tidak adil kerana sejarah lampau yang dilalui oleh PAS sewaktu penggabungan dengan BN sangat besar kesannya, terutama apabila PAS ditendang keluar.
Ekoran itu, PAS pecah kepada tiga kumpulan dan kehilangan Kelantan akibat perbuatan khianat Umno terhadap pengorbanan PAS pada waktu itu. Lantaran itu, menuduh PAS dengan pelbagai tuduhan yang tidak tepat sepatutnya tidak berlaku, kerana ianya akan mengundang pelbagai reaksi ahli dan pimpinan yang masih terasa luka lama tersebut,” tegur beliau secara halus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan