MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Keempat-empat suspek tiba untuk prosiding pendakwaan di Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
KOTA BHARU – Empat suspek kes pembunuhan lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam yang ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu tiba di mahkamah untuk prosiding pendakwaan.
Dua daripada suspek memakai baju lokap berwarna oren manakala dua lagi berbaju ungu tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 8.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Dua daripada suspek dijangka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala dua lagi di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu melupuskan keterangan dan menyembunyikan bukti.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dendam lama dipercayai menjadi punca seorang lelaki OKU lembam dipukul sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok pada 14 April lalu.
Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 12.55 tengah malam keesokan harinya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, tujuh suspek berusia dalam lingkungan
25 hingga 52 tahun termasuk pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dipercayai sering berselisih faham dengan mangsa.
Katanya, mangsa dipercayai dipukul oleh beberapa suspek pada bahagian dada dengan blok enjin motosikal, manakala topi keledar sebagai digunakan untuk memukul mukanya.
“Mangsa kemudian dibawa sejauh 6.5 kilometer dengan menaiki sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok.
“Suspek dipercayai meletakkan mangsa di tepi jalan untuk memperlihatkan Muhammad Zakir Fikry seperti terlibat kemalangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan