"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluarga Sarbani Tolak Inkues, Desak Putrajaya Tubuh Suruhanjaya


KUALA LUMPUR, 15 JUN: Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed menolak keputusan Putrajaya untuk mengadakan inkues, pada bulan depan, bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Inkues itu akan diadakan dari 4 hingga 15 Julai ini dengan diketuai koroner Aizatul Akmal Maharani.

Anak lelakinya, Shahril Ahmad Sarbani berkata, pihaknya lebih suka jika Putrajaya terus menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan berbanding inkues.

Kata Shahril, keluarga itu percaya inkues yang mahu diadakan sukar untuk mengenal pasti punca kematian selain akan melambatkan proses menuntut keadilan.

“Memang itulah tujuan inkues diadakan... kami nak tahu jawapan kepada kejadian ini tapi kami merasakan suruhanjaya diraja siasatan lebih tepat sebab nampak lebih telus berbanding inkues.

“Kalau diadakan inkues, ia nampak macam buang masa, nanti akan jadi seperti kes Teoh Beng Hock... selepas inkues diadakan pula suruhanjaya diraja siasatan, jadi lebih baik diadakan terus suruhanjaya diraja ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, suruhanjaya diraja siasatan dilihat dapat mengheret individu yang menyebabkan kematian Sarbani ke muka pengadilan.

“Suruhanjaya diraja siasatan adalah yang terbaik, siapa yang mencadangkan agar inkues diadakan? Tiba-tiba sahaja terus nak buat sedangkan keluarga tidak tahu apa-apa.

“Suruhanjaya diraja ini dapat mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan, malah ahli panel dalam suruhanjaya ini akan terdiri daripada pelbagai individu yang berkelayakan,” katanya.

Sebelum ini keluarga Sarbani mahu polis mendedahkan perkembangan terbaru hasil siasatan kematiannya dua bulan lalu sebelum mengadakan apa-apa tindakan susulan termasuk inkues.

Ditanya mengenai dakwaan terbaru dibuat editor portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin, Shahril menegaskan, apa yang dilaporkan itu adalah benar kerana Sarbaini tidak memiliki “kekayaan luar biasa” seperti mana didakwa.

“Memang Allahyarham tidak mempunyai apa-apa kekayaan luar biasa, dia hidup macam orang lain juga,” jawabnya ringkas.

Raja Petra dalam tulisan dalam blognya berkata, polis telah menyiasat aset Sarbaini dan mendapati dia tidak memiliki “kekayaan luar biasa” seperti mana didakwa.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat meminta agar Putrajaya terus mengadakan suruhanjaya diraja siasatan daripada mengadakan inkues.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM pada 6 April lalu setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kematian Sarbani merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM.
-tvsnews-

1 ulasan:

goodlistener berkata...

Terima saje cadangan inkues nanti sekiranya wujud suruhanjaya sekiranya maklumat tidak memihak kepada arwah sarbani , ianya akan memalukan keluarga arwah. Jgn ikut nasihat PAS/PKR sebab mereka ada kepentingan untuk memburukkan agensi yg dilindungi oleh kerajaan.