"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Henti bogel, ketuk ketampi tapi baiki kelemahan

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen disaran melakukan beberapa langkah wajar bagi mengatasi kesilapan pada proses kemasukan rakyat asing ke negara kita, tanpa perlu mengarahkan pelancong asing berbogel dan melakukan ketuk ketampi akibat kesilapan yang berlaku.


Antara langkah yang perlu dilakukan termasuklah dengan menyatukan kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol seperti yang dilakukan di Singapura dan membuat fasa-fasa munasabah bagi memasukkan data cap jari pelancong yang masuk ke negara ini.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah Jabatan Imigresin Johor, Amran Ahmad, semalam, di Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Johor, Taman Setia Tropika, Kempas, berhubung isu 2 orang warga Singapura yang ditahan oleh pihak berkuasa dan telah diarahkan berbogel dan ketuk ketampi.

Menurut beliau, Amran bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut kerana tidak diberikan mandat oleh pihak atasan untuk membuat sebarang kenyataan kepada Pemuda PAS Negeri Johor.

Katanya, bagi menjaga nama baik agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresen Malaysia, Pemuda PAS Negeri Johor lebih memberi fokus terhadap ruang kesilapan manusia yang terdapat pada proses masuk ke negara kita.

"Dua orang warga Singapura itu menyatakan bahawa mereka telah melalui kaunter Jabatan Imigresin tetapi tiada pegawai di kaunter tersebut. Kemudian mereka meneruskan ke kaunter tol.

"Mereka membuat bayaran tol dan penghadang pun dibuka. Seterusnya mereka masuk ke negara kita dengan anggapan bahawa negara kita mungkin telah melaksanakan sistem biometrik yang tidak memerlukan pegawai untuk pengesahan masuk," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Dewan Pemuda PAS Johor, menurut beliau, berpendapat terdapat ruang yang membolehkan manusia membuat kesilapan semasa proses masuk ke negara kita.

Katanya, penghadang di kaunter tol sepatutnya berada di kaunter Jabatan Imigresin, bukannya berada di kaunter tol dan kebenaran masuk perlu dibuat oleh pegawai. Setelah mendapat kebenaran maka penghadang akan dinaikkan dan pelancong boleh masuk ke negara kita.

"Adalah lebih baik jika kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol disatukan seperti proses masuk ke Singapura. Ini bagi mengelakkan kekeliruan berlaku kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang kurang memahami peraturan-peraturan dalam negara kita," katanya.

Manakala sistem biometrik yang telah diperkenalkan oleh pihak Jabatan imigresin, menurutnya, telah menyebabkan kesesakan yang teruk di sempadan negara.

"Ini berpunca daripada proses kemasukkan data cap jari untuk setiap pelancong yang datang. Proses ini telah menggunakan masa yang panjang. Pada waktu ini kesesakan sudah semakin pulih," tegasnya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, tegas beliau, berpandangan Jabatan Imigresin boleh membuat fasa-fasa yang munasabah bagi memasukkan data cap jari pelancong yang masuk. Contohnya satu bulan.

"Keadah berfasa ini dapat mengelakkan kesesakan di sempadan negara kita. Cadangan ini boleh dijadikan panduan untuk tindakan pada masa yang akan datang," ujar beliau.

Tiada ulasan: