"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru KAFA didakwa subahat suami rogol anak

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini, hari ini atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya yang didakwa merogol dan mencabul anak perempuannya, tiga bulan lalu.

Suaminya, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan dekat sini atas tiga tuduhan merogol serta mencabul mangsa berusia 15 tahun yang merupakan anak tirinya.

Guru agama itu didakwa di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad atas tuduhan bersubahat dengan suaminya yang berusia 36 tahun, menyuruh mangsa membuka pakaian dan menutup mulut.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam bilik tidur sebuah rumah di Bukit Ampang Permai dekat sini antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, April lalu.

Ibu lima anak itu yang berusia 33 tahun turut didakwa bersubahat dengan lelaki itu terhadap kesalahan sama dengan menyuruh anaknya masuk ke bilik tidur berkenaan antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, 12 Mei lalu.

Selain itu, wanita berkenaan menghadapi tuduhan membenarkan pemandu lori itu mencabul mangsa di bilik yang sama antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi, Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(3) dan Seksyen 354 kanun sama.

Sementara itu di hadapan Hakim Manira Mohd. Nor, suami guru agama terbabit minta dibicarakan atas tuduhan merogol dan mencabul mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan 10 kali bagi setiap pertuduhan merogol.

Bagi perbuatan mencabul pula tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri tersebut yang tidak diwakili peguam bela tidak dibenarkan ikat jamin oleh kedua-dua hakim yang mengendalikan prosiding.

Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Ab. Hamid memohon di hadapan Hakim Roszianayati agar kes wanita itu dibicarakan bersama tuduhan yang dihadapi suaminya.

Roszianayati membenarkan permohonan itu dan kes tersebut akan disebut di hadapan Manira pada 13 Julai ini.
-utusan-

Tiada ulasan: