Mohammad Arifiriazul Paijo
Di Malaysia seringkali dikatakan bahawa, jambatan terpanjang di Malaysia adalah Jambatan Pulau Pinang. Tetapi saya katakan bahawa jambatan terpanjang di Malaysia adalah Jambatan Asian di Kuala Baram, Miri.
Saya katakan demikian kerana tol bagi setiap pengguna Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya sejauh 15km adalah RM7.50 sementara tol yang dikenakan kepada pengguna Jambatan Asian adalah RM10. Secara logiknya Jambatan Asian ini semestinya lebih dari 15km.
(Jambatan Asian [yang tolnya] mahal giler nak mampus!!!, tulis satu blog foto)
Sedikit informasi berkenaan Jambatan Asian. Jambatan Asian merupakan jambatan yang menghubungkan Kuala Baram menghala ke Miri dan Kuala Baram menghala ke sempadan Malaysia-Brunei. Jambatan ini telah siap dibina pada awal tahun 2000. Jambatan ini merupakan laluan utama menghubungkan Miri, Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah.
Jambatan Asian ini telah di bina oleh sebuah syarikat tempatan iaitu Shin Yang iaitu sebuah syarikat yang dikatakan sebagai proksi atau kroni kepada Ketua Menteri Sarawak sekarang. Dalam masa yang sama, syarikat yang sama juga telah membina jambatan yang hamper sama di Sibu iaitu di Lanang.
Tol yang dikenakan kepada pengguna Jambatan Lanang pula hanya RM3. Fakta yang lebih mengejutkan adalah kedua-dua jambatan ini panjangnya adalah hanya lebih kurang 400 meter.
Ini merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan dimana projek pembinaan jambatan ini semestinya projek kerajaan untuk rakyat dan seharusnya secara prinsip sesuatu projek itu sudah tentunya ada pembayaran diberikan kepada pihak pemaju daripada kerajaan.
Namun kenapa perlu ada pembayaran tol yang amat tinggi dikenakan kepada pengguna jambatan ini sementara jambatan yang hampir sama yang dibina oleh pemaju yang sama hanya mengenakan tol serendah RM3.
Sekiranya alasan penyelengaraan digunakan, kenapa Jambatan Pulau Pinang yang jauh lebih panjang hanya mengenakan RM7.50 untuk jambatan sepanjang 15km.
Penindasan ini bukan hanya membabitkan membabitkan pengguna jalan yang ingin ke negara jiran malah telah membabitkan penduduk-penduduk yang tinggal di kampong seberang Kuala Baram iaitu Kampung Masjid.
Penduduk kampung terbabit memberitahu bahawa mereka dikenakan tol RM1 untuk penggunaan sehala unutk jambatan terbabit. Jika inign ke pusat bandaraya mereka terpaksa membayar RM2 untuk perjalanan pergi dan balik.
Untuk mendapat kemudahan terbabit, penduduk kampong terpaksa pula berkunjung ke pejabat pemaju terbabit untuk membuat permohonan dengan menggunakan MyKad yang beralamat di kampong tersebut dengan sokongan ketua kampong.
Situasi ini amat merumitkan penduduk kampung sedangkan sebelum ini ketika perkhidmatan feri masih beroperasi penduduk kampung tersbut tidak dikenakan bayaran sekiranya memiliki pas laluan yang disahkan.
Sementara itu, jambatan tersebut akan berhenti beroperasi pada jam 12 tengah malam dan penduduk kampung seolah-olah hidup di dalam penjara dengan jadual perjalanan harian mereka keluar kampung terhenti pada jam 12 tengah malam dan akan hanya bermula pada jam 6 pagi.
Perkara ini benar-benar mengecewakan kita. Pertama, projek pembinaan jambatan ini yang sepatutnya menjadi kemudahan nilai tambah kepada rakyat sebaliknya menjadi projek tambah duit syarikat-syarikat kroni Ketua Menteri.
Rakyat berhak mendapat kemudahan awam dengan bebanan kewangan tambahan yang minima, namun sekarang terpaksa membayar sekali ganda berbanfing sebelumnya ketika perkhidmatan feri digunakan.
Kedua, kita amat risau dengan ketirisan duit rakyat dibawah jagaan pemerintah yang sedia-ada sekarang iaitu Barisan Nasional yang pada asasnya pembayaran terhadap projek terbabit sepatutnya telah diuruskan sebaiknya.
Namun bila mana rakyat terpaksa lagi membayar sejumlah tol yang cukup mahal bagi melalui sebuah jambatan yang hanya panjangnya 400 meter seolah-olah pembayaran untuk projek pembinaan jambatan tersebut hanya melalui pembayaran tol yang dikenakan kepada rakyat.
Ketiga, penduduk di Kampung Muhibah secara khususnya terpaksa menghadapi kesan secara langsung terhadap pembinaan jambatan tersebut.
Kesan yang diterima oleh penduduk di kampung tersebut bukan hanya terpaksa menampung perbelanjaan tambahan bagi pergi ke tempat kerja masing-masing di pusat bandaraya malah terpaksa hidup dalam kepungan di tempat asal sendiri.
Penduduk kampung terpaksa berada di kampung sebelum jam 12 malam dan pernah dikongsikan oleh wakil penduduk kampung bahawa pernah suatu masa, seorang penduduk kampung yang perlu dibawa ke hospital akibat kecemasan kesihatan tidak dapat dibawa ke hospital akibat daripada jambatan yang tidak beroperasi pada ketika itu.
Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat negeri Sarawak khususnya penduduk di bahagian Miri mendesak pihak kerajaan untuk:
1) Mendedahkan maklumat pembayaran projek pembinaan Jambatan Asian serta kos penyelenggaraannya semenjak ia mula beroperasi
2) Mendedahkan kepada masyarakat umum berkenaan perjanjian berkenaan dengan kutipan tol bagi penggunaan Jambatan Asian, kenapa harga tol yang dikenakan begitu tinggi berbanding tol di Jambatan Lanang dan berapa lamakah konsesi bagi tol Jambatan Asian tersebut?
3) Mengurangkan jumlah kutipan tol bagi penggunaan Jambatan Asian daripada RM10 kepada RM3 seperti mana yang dikenakan terhadap pengguna Jambatan Lanang yang memiliki kepanjangan yang hampir sama dan dibina oleh syarikat yang sama.
Sekali lagi saya menyeru pemerintah kerajaan yang ada sekarang iaitu Barisan Nasional untuk benar-benar melaksankan tanggungjawab dalam menguruskan kekayaan serta hak milik rakyat dengan sebaiknya.
Rakyat pastikan akan bangkit bagi memperbetulkan keadaan dan menghukum kerajaan yang gagal dalam menguruskan kekayaan negeri dan negara yang tercinta ini.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak/Ketua Penerangan PAS Miri.
-harakahdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan