"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betulkah cincin USD24 juta sudah dikembalikan?

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 4 Okt: Kerajaan hari ini menjelaskan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin yang didakwa berharga USD24 juta yang dibeli isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam jawapan bertulis terhadap soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengesahkan pembelian itu tidak berlaku.

"SPRM hanya menjalankan siasatan bagi kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sepertimana dalam peruntukan Akta SPRM 2009.

"Dalam isu yang dibangkitkan ini, SPRM telah merujuk kepada JKDM, dan pihak JKDM telah mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin tersebut. Setelah beberapa hari cincin tersebut dikembalikan semula kepada syarikat pemunya cincin berkenaan," katanya.

Dalam soalan sebelum itu, Lim Lip Eng meminta perdana menteri menyatakan status siasatan PDRM, SPRM dan SKMM berkenaan dakwaan pembelian sebentuk cincin bernilai USD24 juta.

Isu pembelian cincin itu sebelum ini didedahkan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang mendakwa Rosmah membeli cincin berlian dari saudagar permata Jacob and Co di Amerika Syarikat yang berharga RM24.45 juta

Beliau juga mendakwa terdapat bukti jelas kemasukan berlian berkenaan yang didapati menerusi rekod Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia.

Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia sebagai fitnah dan tidak mahu melayan dakwaan tersebut, selepas dua minggu isu itu ditimbulkan.

Perkara itu juga telah dilaporkan kepada SPRM pada 13 Julai lalu.

Tiada ulasan: