"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MAIS gagal menjaga amanah pewakaf

KLANG, 27 JAN: Hampir enam tahun menanti agar kawasan yang diwakaf digunakan seperti yang dirancang dan dibincang bersama Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), seorang usahawan Dr Kamarolzaman Hajar, 53, tampil melahirkan rasa kekecewaanya terhadap organisasi agama itu yang diamanahkan mengurus kawasan wakaf tersebut.

Tanah yang dilengkapi 27 unit buah rumah dengan tiga buah bilik dilengkapi sistem perparitan dan kemudahan elektrik serta air bersih itu terbiar sepi sejak diserahkan pada MAIS pada Jun 2006 sejak zaman pemerintahan Umno-BN di Selangor.

"Tujuan saya mewakafkan kawasan ini kepada MAIS adalah kerana saya mahu ia menjadi tempat tinggal anak-anak yatim, golongan mualaf dan fakir miskin yang tiada tempat perlindungan.

"Melihatkan keadaan sekarang ini, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan sedih saya kerana apa yang saya hajatkan masih belum kesampaian," luah Kamarolzaman sebak.

Menurut doktor perubatan yang mempunyai sebuah klinik kesihatan di Seksyen 7 Shah Alam, beliau membina unit-unit rumah ini pada tahun 2000 dan disewakan kepada penyewa dengan kadar RM 420 sebulan.



Bagaimanapun demi merealisasikan hasrat mebantu golongan yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan perlindungan seperti anak yatim dan fakir miskin, beliau mengorbankan keuntungan berkali ganda yang mampu diperolehi hasil kutipan sewa.

"Niat saya ikhlas untuk membantu mereka yang memerlukan terutama anak-anak yatim yang kebanyakan mereka sudah tidak punya sesiapa sebagai tempat bergantung.

"Namun setelah kian lama menunggu, dan MAIS masih gagal mengurus harta yang diwakafkan ini dengan amanah dan baik, saya benar-benar menyesal.

"Bukan mewakafkan tanah ini, tapi kerana mengamanahkan ia kepada mereka yang kononnya tegakkan agama padahal dengan terang-terangan mencabul nilai-nilai Islam itu sendiri," jelas Kamarolzaman dengan nada sedikit marah.

Beliau turut memberitahu bahawa sudah berulang kali perbincangan dilakukan bersama pihak MAIS, malah beliau sendiri sudah berjumpa dengan bekas Exco Hal Ehwal Islam sebelum ini iaitu Datuk Dr Hasan Ali namun janji yang diberi sekadar omongan kosong.

"Sudah puas saya turun naik berjumpa pegawai-pegawai MAIS malah Hasan Ali sendiri pada April 2008, namun janji untuk menguruskan tanah ini dengan baik hanya tinggal janji.


"Sekarang saya tidak mempercayai apapun yang dikatakan mereka kerana saya sudah serik diberi pelbagai alasan," ujarnya lagi yang baru berjumpa pegawai MAIS minggu lepas bagi membincangkan perkara ini namun masih menerima alasan lapuk yang sama.


Selain itu, lebih mengecewakan beliau adalah kedengaran ura-ura bahawa tanah yang sudah ditukar nama kepada MAIS ini dikhabarkan bakal didirikan kawasan pangsapuri kos sederhana 4 tingkat sebanyak 60 unit.

"Ini adalah khabar angin daripada sumber-sumber yang boleh di percayai. Malah ia juga tertulis dalam laporan yang dikeluarkan MAIS baru-baru ini.

"Persoalannya mengapa tanah yang diwakafkan ini perlu dibangunkan semula untuk tujuan komersial sedangkan sewaktu diwakafkan kesemua unit rumah ini lengkap untuk diduduki?," soal beliau hairan dengan tindakan MAIS yang seolah-olah cuba mencari keuntungan daripada harta yang diwakafkan.

Sungguhpun tanah yang diwakafkan itu masih tidak berfungsi sebagai pusat perlindungan yang diinginkan, Kamarolzaman kini berusaha sendiri memberi perlindungan kepada 25 orang anak-anak yatim yang ditempatkan di banglo miliknya bersebelahan kawasan wakaf itu.

"Inilah niat saya dan saya akan cuba tunaikan selagi saya termampu. Kalau benar mereka mahu bangunkan kawasan perumahan untuk tujuan yang selain saya niatkan sewaktu menyerahkan kawasan ini, saya akan tetap pertahankan tanah ini sehingga titisan darah terakhir.

"Kalau ditanya harapan, saya tidak berharap apa-apa lagi daripada MAIS. Cuma saya mohon agar saya diberi hak bagi mengurus tanah wakaf ini kerana MAIS sendiri telah gagal mengurusnya. Jadi biarlah saya sendiri menguruskan tanah wakaf ini," tegas Kamarolzaman mengakhiri kata-katanya.

Tiada ulasan: