Salhan K Ahmad
Jan 28, 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak tahu menahu mengenai satu video baru yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditanya dalam sidang media lewat malam ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC, Najib juga berkata perkara itu sepatutnya ditanya kepada Datuk T yang membuat dakwaan itu.
"Saya tak tahu, kena tanya dialah, jangan tanya saya," katanya.
Ditanya sekiranya beliau telah menonton video tersebut, Najib juga berkata beliau tidak tahu.
"Saya tak tahu. Saya tak ada makluman... Pasal video (pula) tengah-tengah malam ini," katanya lagi yang ketawa besar.
Semalam, 'Trio Datuk T' yang menayangkan video seks yang mereka dakwa pelakunya adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Anwar membuktikan yang mereka salah atau berdepan dengan satu lagi pendedahan video yang "lebih dahsyat".
Dalam laporan muka depan akhbar harian berbahasa Melayu - Utusan Malaysia - salah seorang anggota Trio 'Datuk T, yang juga bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim (kanan), berkata video baru itu dirakamkan pada 12 dan 13 Januari tahun lalu di Thailand.
Shuib berkata beliau sendiri telah menonton rakaman video ini selepas diberikan oleh seorang lagi anggota trio Datuk T, Datuk Shazryl Ekay Abdullah.
Shuib menambah Anwar perlu segera menyaman Trio Datuk T, termasuk bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, jika mana-mana penganalisis forensik antarabangsa boleh membuktikan bahawa pelaku dalam video seks pertama yang didedahkan Mac lalu, adalah bukan Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan