Seorang ahli perniagaan hari ini membuat laporan polis mendakwa telah dipukul oleh sekurang-kurangnya empat anggota polis berpakaian preman di Bukit Sentosa malam tadi.
Menurut Khoo Gin Seong, 44 (kiri), seorang anggota polis yang dikenali di situ dengan nama Mansur, telah memukulnya ketika dia sedang minum dan bermain judi di sebuah kedai kopi di situ pada kira-jam 9 malam.
Khoo juga mendakwa Mansur, yang dikatakan sering datang di kedai kopi, mencuri RM1,000 yang menurutnya wang yang dimenanginya dalam permainan kad.
Khoo mendakwa Mansur, yang duduk di meja dekatnya, mabuk selepas minum bir dan tidak senang dengan ahli perniagaan itu yang bercakap kuat.
Ia mencetuskan pertengkaran, yang berakhir dengan Mansur didakwa memukul Khoo, dengan bantuan "empat atau lima" individu lain yang didakwanya dikenali sebagai anggota polis.
Dia mendakwa, kejadian itu disaksikan oleh sekurang-kurangnya empat orang yang berada di kedai kopi itu.
Ahli perniagaan itu mendakwa dia kemudian dibawa ke balai polis Bukit Sentosa, di mana dia tidak dibenarkan pergi dari situ sehingga kawan-kawannya datang dengan membawa "beberapa ratus ringgit" pada sekitar tengah malam.
Empat jam kemudian, Khoo pergi semula ke balai polis yang sama untuk membuat laporan polis, tetapi mendakwa kakitangan di situ enggan menerimanya.
Laporan itu akhirnya dibuat pada jam 4.51 pagi selepas dia dikatakan enggan mengalah.
Dalam laporan tersebut Khoo mendakwa mereka memukulnya hingga gigi palsunya patah dan badannya sakit.
Bercakap kepada Malaysiakini selepas sidang akhbar mengenai perkara itu di Rawang, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata Khoo menelefonnya sekitar jam lapan pagi mengadu mengenai kejadian itu.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, balai polis Bukit Sentosa mengesahkan Khoo telah membuat laporan mengenai perkara itu pagi ini, tetapi tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut kerana ia dalam siasatan.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan