S.M. Mohamed Idris
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menarik semula pengharaman yang dikenakan ke atas mercun kerana ia seolah-olah memperolokkan undang-undang jika tiada penguatkuasaan.
Permainan mercun telah diharamkan sejak 1978; namun dentuman mercun yang bertalu-talu jelas kedengaran di seluruh Pulau Pinang pada malam Tahun Baharu Cina.
Bunga api dan mercun telah meragut banyak nyawa dan kemusnahan harta benda. Jika penguatkuasanya tidak dilaksanakan dengan tegas, kita seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada musibah ini.
Tragedi terbaru berlaku di Kota Kinabalu apabila seorang lelaki berusia 26 tahun maut dalam nahas letupan bunga api. Ahli keluarga mangsa yang berada di tempat kejadian melihat dengan ngeri mangsa terjatuh ke tanah dan tidak bermaya selepas bunga api yang dipasangnya tidak menyala dan tiba-tiba meletup lalu terkena pada mukanya apabila beliau cuba memeriksanya.
Bunga api dan mercun yang berleluasa di pasaran jelas menunjukkan kelemahan pihak Jabatan Kastam melakukan pemeriksaan teliti di pintu masuk. Jika Jabatan Kastam lebih berhati-hati sewaktu menjalankan tugas, dagangan yang merbahaya ini tidak akan beredar di pasaran.
Pada masa ini hanya mercun diharamkan di bawah Akta Bahan Letupan. Namun begitu, peraturan ini masih belum mencukupi. Bunga api juga mengandungi bahan letupan; oleh itu ia turut mendedahkan bahaya kepada penggunanya.
Selanjutnya, pengharaman sepenuhnya ke atas kedua-dua mercun dan bunga api akan memudahkan tugas penguatkuasaannya kerana tidak ada benda yang terselindung. Pada ketika ini, pegawa-pegawai penguatkuasa berasa sukar hendak menjalankan tugas jika mercun disembunyikan di sebalik timbunan bunga api. Pengharaman mercun dan bunga api bukan saja memudahkan tugas penguatkuasaan lebih mudah, malah orang ramai lebih mudah mengenal pasti mereka yang melakukan kesalahan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Sejak bertahun-tahun CAP telah menggesa ke arah penguatkuasaan mercun dan bunga api. Malangnya, gesaan itu tidak mendapat perhatian pihak berkuasa. Pihak polis dan Jabatan Kastam gagal memeriksa apa yang dianggap sebagai perilaku yang memperolokkan undang-undang.
CAP berasa dukacita kerana pihak berkuasa yang sepatutnya menguatkuasakan undang-undang tidak bertindak tegas terhadap mereka yang secara terang-terangan melanggar undang-undang.
Setiap tahun ramai kanak-kanak yang terbunuh atau tercedera dan mengalami kecacatan apabila bermain bunga api. Jika kita benar-benar mengambil berat terhadap kebajikan mereka, kita sepatutnya mengharamkan semua permainan mercun dan bunga api tanpa sebarang alasan lagi. Hanya dengan cara ini saja anak-anak kita akan terselamat daripada tragedi yang berlaku setiap tahun ini.
Kita memahami bahawa permainan bunga api dan mercun memeriahkan lagi sambutan sesuatu perayaan. Namun akibat dan kosnya terlalu tinggi untuk ditanggung.
Memandangkan pihak berkuasa seolah-olah tidak berupaya menguatkuasakan undang-undang yang ada, adalah lebih baik sekiranya pengharaman ke atas mercun ditarik balik, daripada memberikan jaminan palsu bahawa keadaannya selamat.
Sudah terlalu lama Akta Bahan Letupan menjadi bahan sendaan.
S.M. Mohamed Idris
Presiden CAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan