"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga pelajar minum racun di sekolah

PUTRAJAYA: Akibat takut dikenakan tindakan disiplin, tiga pelajar perempuan bertindak melulu cuba membunuh diri dengan minum racun di sebuah sekolah menengah di Sungai Pelek, Sepang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, semua mangsa berketurunan India dan berusia 16 tahun, dipercayai bertindak demikian selepas pihak sekolah dikatakan mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka.

Beliau berkata, kejadian itu dimaklumkan pihak hospital kira-kira jam 2 petang ketika ketiga-tiga pelajar itu sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan.

“Mangsa dipercayai minum racun kerana takut dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah. “Mereka ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah sebelum di hantar ke hospital untuk rawatan.

“Setakat ini, kita belum tahu jenis racun yang diminum, dan kes disiasat mengikut Seksyen 309, Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus ketika dihubungi berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kejadian itu, dan tindakan segera akan diambil untuk menyiasat.

“Saya belum mendapat laporan lagi, tetapi saya akan minta pegawai berkaitan untuk menyiasat kejadian ini,” katanya.

Di Seremban, dua daripada tiga pelajar wanita yang dikejarkan ke HTJS masih belum sedarkan diri dengan seorang daripada mereka ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seorang pelajar berusia 16 tahun yang sedar dan ditahan di wad pesakit luar menafikan dia minum racun rumpai itu bersama dua lagi rakannya.

Katanya, dia tidak tahu kenapa gurunya mengarahkan dia mengikut dua lagi rakannya yang ketika itu tidak sedarkan diri dipercayai akibat meminum racun rumpai berkenaan.

“Saya akui dua rakan itu mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mungkin mereka tidak dapat menerima kenyataan bakal dibuang sekolah mengakibatkan mereka mengambil tindakan sedemikian,” katanya.

Katanya, dia kesal dengan perbuatan dua rakan baiknya itu kerana mereka adalah rakan karib sejak sekian lama dan sering menghabiskan masa bersama.

“Saya harap mereka akan berubah selepas kejadian ini dan tidak mengulangi perkara sama,” katanya.”

Tiada ulasan: