"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir kata Umno/BN macam syaitan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa "lebih baik (memilih) syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenal", boleh mengelirukan umat Islam.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kenyataan Mahathir itu juga bertentangan dengan akidah Islam yang mewajibkan setiap muslim percaya dan beriman kepada malaikat seperti termaktub dalam rukun iman, sedang syaitan pula katanya, adalah musuh yang nyata bagi orang Islam.

"Berpegang kepada akidah Islam, kita kena percaya kepada malaikat, dan syaitan itu musuh kita.

"Kenyataan (Mahathir) itu agak mengelirukan. Kalau suruh pilih syaitan, itu tidak boleh," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan terbaru Mahathir dalam blognya chedet.cc semalam.

Dalam entri terbarunya itu, Mahathir berkata lebih baik mengundi “syaitan yang dikenali dari malaikat yang anda tidak kenal”.

Katanya, Barisan Nasional (BN) telah terbukti mendengar keluhan rakyat dan banyak perubahan telah dibuat berbanding Pakatan Rakyat yang menjanjikan banyak perubahan tetapi tiada jaminan bahawa janji tersebut akan ditunaikan.

Mahathir juga berkata tindakan memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat membentuk kerajaan selama lima tahun boleh mewujudkan kucar-kacir dan memusnahkan negara.

Membidas kenyataan itu, Nizar yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, rekod 54 tahun pemerintahan BN sememangnya telah meletakkan Malaysia dalam keadaan kucar-kacir termasuk soal perundangan, ekonomi dan juga politik.

"Saya tak tahu dia (Mahathir) rujuk syaitan dan malaikat itu kepada siapa. Tapi sepertinya Syaitan itu dirujuk kepada Umno BN. Seperti mengatakan Umno itu syaitan.

"Yang penting kita tak boleh pilih syaitan, kita kena percayakan malaikat," katanya.

Tiada ulasan: