"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila Ustaz Azizan bidas hujah pembangkang Dun Kedah

AZAMIN AMIN
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ke-12 bermula dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia (YTM) Dato' Seri Utama Tan Seri Tunku Annuar AlHaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Bajet 2013, 20 November lalu.

Perasmian sidang DUN dimulakan dengan titah ucapan YTM yang memuji dan rakaman tahniah kepada pasukan Menteri Besar Kedah Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Razak yang telah berusaha keras melaksanakan dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bekerja keras merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi memajukan negeri Kedah khasnya dalam bidang pertanian, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

"Usaha-usaha yang dijalankan telah pun menampakkan kejayaannya," titahnya.

Sidang DUN kemudian diwarnai dengan arahan Speaker DUN Dato' Dr Abdul Isa Ismail tidak mengizinkan Adun Kuala Nerang Dato' Syed Sobri Syed Hashim mengambil bahagian pada Sidang Bajet kali ini kerana belum dapat memutuskan status terkini berhubung kes muflis wakil rakyat tersebut yang menyebabkannya hilang kelayakan sebagai ADUN.

"Saya juga dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pejabat Peguam Negara untuk mengumpul dan mengesahkan semua dokumen yang berkaitan untuk menentukan kedudukan beliau seterusnya," katanya.

Sebelah petang hari yang sama sesi sidang DUN menyaksikan pembentangan Bajet oleh Ustaz Azizan selama sejam yang menyatakan kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion bagi melaksanakan semua program dan projek yang disusun rapi bagi memajukan Negeri Kedah demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau memulakan ucapan Bajet itu dengan petikan dua surah al-Quran tentang nikmat Allah (Surah Ibrahim Ayat 34) dan menggunakan nikmat yang ada kepada jalan kebaikan (surah al-Hajj ayat 41).

Ustaz Azizan menyentuh pelbagai sektor termasuklah pencapaian Kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil akan dirasmikan pada awal 2013 yang bakal disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Sidang DUN hari kedua, 22 November bermula jam 9 sehingga 10 pagi hanya tiga soalan lisan berjaya dikemukakan iaitu berkenaan Khutbah Jumaat, isu Kerajaan menanggung beban kerajaan terdahulu dan kemerosotan prestasi bola sepak Kedah.

Namun, dewan menjadi 'sunyi' tatkala pendedahan dibuat oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ir Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) berhubu8ng projek-projek sakit BN Kedah terdahulu sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat kini terpaksa menanggung beban tuntutan saman dan hutang.

Antaranya Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah telah menggunakan wang syarikat untuk membiayai aktiviti Umno sebelum 2008 yang lalu.

Ketika Amiruddin memberi jawapan, Adun-adun BN lebih banyak 'menikus' dan tunduk kerana bimbang 'tercucuk' mata sendiri.

Kata Amiruddin STDC di masa BN telah membuat pembayaran di bawah item 'sumbangan' sebanyak RM8 juta dan daripada jumlah itu RM7.5 juta tidak mendapat pengecualian cukai kerana sumbangan kebanyakannya dibuat untuk membiayai aktiviti politik Umno, kata Amirruddin.

"Sumbangan digunakan antaranya untuk membeli t-shirt dan tudung untuk Pemuda dan Puteri Umno serta pelbagai tajaan untuk kempen Umno sewaktu pilihan raya kecil di Ijok.

"STDC di bawah Pakatan Rakyat kena jelaskan cukai RM3.1 juta dan 'penalty' RM1 juta kerana pengurusan lama lambat bayar cukai tanpa rebat pengecualian," katanya.

Kemudian dalam jawapan berkaitan bola, kedangkalan terserlah apabila wakil BN Dato' Ahmad Bashah (BN-Bakar Bata) dalam soalan tambahan menyarankan agar kerajaan 'ditukar' berikutan kekalahan dan kemerosotan prestasi pasukan bola sepak Kedah sejak mutakhir ini.

Ini termasuklah menukar Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang kini disandang oleh Ustaz Azizan.

Namun soalan tambahan Bashah, merupakan 'bola tanggung' yang berjaya dilibas tepat ke muka beliau oleh Exco Kerajaan Negeri Dato' Hamdan Khalib (PAS-Tanjung Dawai) dalam jawapan balasnya.

"Kalau itu dijadikan ukuran, maka kerajaan BN dan Perdana Menteri mesti ditukar...sebab pasukan bolasepak Malaysia kalah dan jatuh dalam ranking dunia!

"Kita jangan jadikan bola sepak sebagai bahan politik. Biar kita sama-sama bangunkan dan sokong pasukan bola sepak kita," katanya.

Sesi membahas titah ucapan, kemudiannya berlangsung selepas soalan lisan, menyaksikan semua Adun-adun diberi peluang berucap sehingga memakan masa sampai jam 9.00 malam.

Hari terakhir Sidang DUN, 4 soalan lisan dikemukakan dan antara yang menarik perhatian ialah jawapan cukup tenang dan telus oleh Amiruddin berhubung isu kegagalan projek Papua New Guinea (PNG).

Setelah selesai menjawab Amiruddin sekali lagi menegas bahawa kegagalan PNG berpunca daripada salah maklumat dan bukannya membabitkan rasuah atau penyelewengan.

"Namun, jika terbukti bersalah, kita tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan," katanya.

Kira-kira jam 11.40 pagi Abu Hasan Sarif (BN-Kota Siputeh) yang ingkar arahan Spekar diarah untuk meninggalkan dewan.

Beliau tidak berpuas hati kerana Lim Soo Nee tidak memberi laluan untuk mencelah ketika sesi sedang menggulung perbahasan.

Lim menyatakan bahawa selepas selesai beliau akan memberi laluan namun tidak diendahkan oleh Abu Hassan yang mendakwa bahawa pihak kerajaan tidak mengamalkan sistem demokrasi.

Speaker DUN menegur dan mengarahkannya Abu Hassan duduk sebanyak dua kali namun beliau ingkar menyebabkan Abdul Isa mengarahkan Abu Hasan keluar sambil diiringi Bentara Dewan.

Abu Hasan kemudiannya mengajak adun-adun BN untuk bersamanya untuk keluar sedangkan ada antara mereka yang teragak-agak dan berbelah bahagi untuk menuruti permintaan Abu Hassan.

Setelah merayu dan melaungkan suara sebanyak tiga kali:"Saya mintalah rakan-rakan semua keluar dewan", barulah masing-masing bangun meninggalkan dewan kecuali Adun Bebas Tan Wei Shu.

Setelah 15 minit berada di luar dan membuat sidang media, barulah semua adun BN memasuki Dewan semula kecuali Abu Hassan.

Tepat jam 5.00 petang, giliran Ustaz Azizan menggulung perbahasan dan menyentuh semua kritikan dan perkara yang dibangkit adun BN.

Beliau mengambil sikap menghormati semua teguran yang diberikan meskipun hujah adun BN tidak berasaskan fakta yang tepat.

"saya rai dan hormati pandangan semua...walaupun ada yang dapat maklumat yang salah. Itu hak mereka tetapi yang penting hubungan kita berlangsung secara aman seperti adik-beradik.

"Tujuan kita berkhidmat sebagai wakil rakyat adalah untuk kesejahteraan rakyat...biatrlah berpolitik, berparti tetapi sesama kita hubungan sentiasa baik," katanya.

Ustaz Azizan yang sudah berpengalaman berada di siadang DUN selama 18 tahun kemudian melahirkan rasa syukur, kerana Kedah berada dalam keadaan sejahtera tanpa ketegangan yang melampau seperti di tempat lain.

Harapannya ialah supaya Kedah menjadi contoh kepada yang lain dalam memelihara keharmonian meskipun masing-masing berlainan ideologi politik.

Beliau mengakhiri penggulungan dengan nada sayu, merakam terima kasih kepada semua Adun dan memohon maaf memandangkan Sidang DUN kali ini merupakan yang terakhir sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

"Saya bersyukur kerana Kedah aman dan sejak 1990 bersama Fadzil Noor (Almarhum Presiden PAS) sehingga kini...kita boleh duduk sekali.

"Dan saya memohon maaf kepada semua atas apa-apa yang tidak dapat ditunaikan. Moga kita semua mendapat keberkatan Allah di dunia dan akhirat," katanya.

Tiada ulasan: