"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 calon rebut jawatan Naib Presiden Umno

Zabidi Saidi 
ANALYSIS
Jawatan Naib Presiden Umno menjadi perhatian para pemerhati politik menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini.

Penyandang jawatan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Shafie Afdal (Menteri Pembangunan Luar Bandar) tidak mungkin menang tanpa bertanding kerana sudah menjadi tradisi jawatan itu terbuka kepada pertandingan.

Sehingga kini tujuh calon lain disebut-sebut selain dari tiga penyandang mempertahankan jawatan mereka.

Calon pertama yang layak bertanding jawatan Naib Presiden Umno ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed (Tok Pa). Beliau pernah bertanding jawatan tersebut pada tahun 2004 tetapi kalah.

Namun demikian pada tahun 2008 beliau hanya bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno dan beliau menang di tempat pertama. Beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ada peluang untuk menang kerana biasanya pemenang ahli majlis tertinggi nombor satu mudah dinaikkan pangkat sebagai Naib Presiden Umno.

Calon kedua ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Pada tahun 2008 beliau juga mahu bertanding kerusi Naib Presiden Umno tetapi menarik diri kerana memberi peluang kepada Datuk Seri Shafie Afdal.

Penarikan diri ini menyebabkan Shafie menang dan beliau muncul sebagai menteri pertama dari Sabah yang pernah menang jawatan Naib Presiden Umno. Hubungan tidak baik antara Musa-Shafie sudah menjadi perbualan orang ramai.

Jika Musa bertegas untuk bertanding kali ini, peluang Shafie untuk menang agak terjejas. Tambahan pula jika Musa bertanding atas tiket Kelab Menteri Besar yang mahu meletakkan seorang calon di kalangan mereka sebagai Naib Presiden Umno.

Calon ketiga ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Pada tahun 2008 beliau tewas kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno. Kali ini beliau tidak mungkin mencabar Muhyiddin kerana majoriti Perhubungan Umno negeri mahu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Sehubungan dengan itu, beliau ada harapan untuk menang kerana beliau adalah Naib Presiden Umno yang popular pada tahun 2004. Tidak semestinya jawatan itu disandang oleh menteri kerana pernah Tun Ghafar Baba tidak ada jawatan menteri tetapi menang kerana perwakilan Umno mahu jawatan itu bukan sahaja dibolot oleh orang yang ada jawatan dalam kerajaan.

Calon keempat ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad. Beliau pernah menang jawatan itu pada tahun 2004 bersama Ali dan Muhyiddin. Tetapi Isa didapati bersalah terlibat dalam politik wang yang menyebabkan beliau hanya setahun sahaja memegang jawatan itu.

Pada tahun 2008, beliau bertanding jawatan naib Presiden tetapi kalah. Dengan kembalinya beliau sebagai ahli parlimen Jempol dan Pengerusi Felda, Isa akan memberi persaingan yang kuat kepada penyandang jawatan sekarang.

Peluang Idris cerah

Calon kelima ialah Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh. Sudah jadi tradisi siapa yang jadi Menteri Pelajaran akan menang jawatan Naib Presiden Umno seperti mana berlaku pada Tun Dr Mahathir Mohamad (1975), Tun Musa Hitam (1978) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (1987).

Maka peluang Idris untuk menang adalah cerah. Lebih-lebih lagi jika BN menang dalam pilihanraya kecil DUN Kuala Besut pada hujung bulan ini.

Jika BN menang, namanya akan melonjak naik.Tambahan pula beliau adalah Timbalan Pengarah pilhanraya kecil selain Ketua Umno Bahagian Besut.

Calon keenam ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang pernah bertanding jawatan tersebut pada tahun 2008. Beliau gagal tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk bertanding lagi.

Beliau pernah berkata sekalu Menteri Besar beliau secara automatik adalah ahli majlis tertinggi Umno, maka jawatan yang wajar ditandinginya sudah tentu jawatan Naib Presiden Umno.

Calon terakhir yang layak bertanding ialah Pengerusi Risda,Tan Sri Rahim Tamby Chik. Bekas Ketua Pemuda Umno itu tidak serik untuk bertanding walaupun tewas pada tahun 2008.

Baginya, Zahid dan Hishammuddin adalah Ketua Pemuda yang junior, maka beliau rasakan beliau mampu memberi cabaran kepada kedua-dua bekas ketua pemuda Umno tersebut.

Adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Maka tujuh orang ini, Tok Pa, Musa, Ali, Isa, Idris, Adnan dan Rahim mampu memberi saingan yang sengit kepada Zahid, Hishammuddin dan Shafie.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/08/10-calon-rebut-jawatan-naib-presiden-umno/#sthash.MBllGRVn.dpuf

Tiada ulasan: