"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas mahasiswa KUIS Syamimi Faiqah sah sertai IS - polis

NADIA JUMRI dan NUR NATASHA AIDA ISMAIL
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan Syamimi Faiqah telah berlepas ke Syria, 4 Okt lepas dipercayai bagi menyertai kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Syamimi, bekas mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira pukul 11.55 malam.

"Berdasarkan maklumat terkini semalam Syamimi kini berada di sempadan Turki-Syria dan kita yakin dia akan seberang masuk kerana sewaktu tiba di Lapangan Terbang Istanbul sudah ada individu yang menunggu untuk membawanya ke Syria melalui jalan darat iaitu di wilayah Hatay.

"Dari sana akan ada sindiket yang akan membawanya melepasi sempadan Turki sehingga sampai ke Syria. Polis percaya Syamimi di'passing' dan ada individu yang menunggu di 'checkpoint' tertentu," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan Syamimi melarikan diri ke Syria untuk berkahwin dengan pejuang IS dikenali sebagai Akel Zainal, yang beliau kenali menerusi laman sosial Facebook.

Akel Zainal difahamkan adalah bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada 1990-an dan kini berada di Syria untuk menyertai perang.

Ayob berkata, Akel dipercayai giat menyasarkan gadis dan wanita Melayu khususnya pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk direkrut ke Syria.

"Apa yang membimbangkan, hanya melalui Facebook, dia boleh tarik Syamimi Faiqah tinggalkan keluarga dan mereka boleh atur untuk pergi ke rumah Syamimi Faiqah untuk bawa ke lapangan terbang," kata Ayob.

Beliau berkata, sejak polis mengesan penglibatan rakyat Malaysia dalam perjuangan militan di negara Syria yang bergolak itu, seramai lima orang telah terbunuh dan enam cedera.

Setakat ini, seramai 22 rakyat Malaysia termasuk 3 wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan, manakala 23 individu lagi telah ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan tersebut.

Terdahulu, polis menahan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dengan IS di Lapangan Terbang KLIA2 pada 5 Okt.

Wanita berumur 25 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke Syria bagi melangsungkan pernikahan dengan seorang rakyat Malaysia di Syria yang juga disyaki terlibat dengan perjuangan IS.
-Bernama-

Tiada ulasan: