"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peragut berbasikal terlondeh kain dibelasah (Gambar)

Sudah jatuh ditimpa tangga, kata peribahasa Melayu.
Begitu kejadian memalukan apabila seorang peragut berbasikal di Tumpat, Kelantan, terlondeh kainnya ketika dikejar orang kampung selepas cuba meragut seorang gadis semalam.

Lebih menarik, remaja yang cuba diragut itu menunggang motosikal manakala peragut itu pula hanya berbasikal.

Gambar lelaki 36 tahun yang kelihatan seperti bersantai dalam keadaan separuh bogel dengan mulut dan hidung berdarah itu kini tersebar luas di Internet.

Beliau dikatakan dibelasah orang kampung yang berang dengan tindakannya cuba meragut seorang gadis 17 tahun.

MyMetro melaporkan, peragut itu juga mengugut mahu mencederakan mangsa selepas merampas beg tangan yang mengandungi wang bernilai RM200 dan telefon bimbit.

Dia kemudian dibelasah orang kampung yang mendengar mangsa menjerit meminta tolong.

Akhbar itu turut melaporkan, Ketua Polis Daerah Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

“Dia dikejar tidak jauh dari lokasi dia meragut dan cedera ketika bergelut dengan orang kampung semasa cuba melepaskan diri,” Zahruddin dipetik sebagai berkata.

“Suspek dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan pesakit luar. Hasil siasatan lanjut mendapati ujian air kencingnya negatif dadah dan tiada senjata berbahaya digunakan,” katanya seperti yang dilaporkan Hmetro.

Dalam kejadian dilapor pada 8.30 pagi di tepi jalan dekat simpang Stadium Mini itu, suspek dipercayai cuba meragut beg tangan mangsa yang diletakkan dalam raga motosikal.

Suspek yang cuba meragut dengan menaiki basikal itu dikatakan seorang penganggur yang berasal dari Kampung Bukit Payong, Terengganu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: