"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan rayuan Anwar selepas Umno bersidang?

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Apabila Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini disabitkan dengan hukuman lima tahun penjara ke suatu tarikh lain, persoalan yang menjadi teka-teki ramai ialah bilakah ia akan diumumkan dan apakah pula keputusannya.

Sementara pihak pembela dan pendakwa melahirkan keyakinan keputusan nanti akan memihak kepada mereka, orang ramai juga mulai membuat telahan dan andaian masing-masing, tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Menurutnya, ada yang yakin Anwar akan didapati bebas dan ada juga yang merasakan sebaliknya.

Arifin yang mengetuai panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan membuat penangguhan itu selepas tidak sampai sejam mendengar hujah penutup oleh pihak pembela dan pendakwa pada petang semalam selepas bersidang sejak tujuh hari lalu.

Empat lagi hakim yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Beliau berkata, memandangkan banyak fakta dikemukakan, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk membuat penilaian dan keputusan akan dibuat di tarikh lain yang akan diberitahu kemudian.

Pada pandangan Shahbudin, berbanding kes rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mana keputusan diumumkan pada hari yang sama pendengaran hujah kedua-dua pihak pendakwa dan pembela berakhir, penangguhan keputusan ini mengulangi seperti apa berlaku dalam Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Baginya, tidak dipastikan berapa lamakah panel lima hakim ini memerlukan masa untuk menilai fakta-fakta yang dikemukakan sebelum membuat keputusan muktamad, mungkin seminggu, dua minggu, tiga minggu atau lebih lama daripada itu.

Beliau berpendapat, memandangkan Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini, adalah dijangkakan keputusan kes rayuan Anwar itu hanya akan diumumkan selepas tarikh tersebut.

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan ketua pembangkang itu.

Jika Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai anggota parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh kerana Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Tiada ulasan: