HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan membawa masuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berpidato di dalam Universiti Malaya, aktivis mahasiswa akan menjemput pula seorang warga emas, Wahida Mat Salleh, 73, yang rumahnya dirobohkan di Kampung Chubadak Tambahan minggu lalu.
Program anjuran Pro Mahasiswa Universiti Malaya ini akan diadakan pada Rabu ini bertempat di Medan Selera Kolej Kediaman ke-7, bermula jam 9 malam.
Wahida atau lebih dikenali sebagai Opah Wahida dijangka akan memberi ucapan berhubung tindakan zalim yang diperlakukan terhadap keluarganya.
Pada 28 Oktober lalu, pondok tempat berteduh beliau dan suami Haji Halim dirobohkan pihak pemaju yang mahu membuat pembangunan komersial di tanah tersebut.
Beliau yang sudah menetap di situ lebih 40 tahun, kini terpaksa berteduh di bawah khemah yang didirikan secara gotong-royong oleh aktivis dan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol, turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran program ini.
Katanya, orang ramai dijemput hadir bagi mendengar penjelasan dari Opah Wahida sendiri.
Dalam pada itu, program ini juga kata Fahmi bertujuan mengutip derma buat Opah Wahida untuk membina sebuah rumah baru.
"Ia juga bagi mengangkat nilai dan fungsi sebenar Universiti dan Mahasiswa di mana Universiti dan Mahasiswa perlu menyumbang kepada masyarakat," katanya.
1 ulasan:
Tolong beri no ac opah wahida supaya sumbangan dpt disalurkan. Peringatan: hanya ac yg dimiliki dan dikuasai sepenuhnya oleh opah wahida bukan org lain.
Catat Ulasan