FMT Reporters
PETALING JAYA: Tindakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perhimpunan untuk menyampaikan amanat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dilihat akan menjadi alasan utama kepada penggantungan dan pemecatannya.
Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, jika sebelum ini orang nombor dua itu terlepas daripada sebarang hukuman daripada Majlis Tertinggi (MT) tetapi dengan keputusan beliau kali ini, ia akan menjurus ke arah itu.
“Ada perkhabaran mengatakan, jika dalam dua mesyuarat MT sebelum ini beliau terlepas daripada sebarang tindakan, hukuman pasti menanti Muhyiddin pada mesyuarat 9 Disember nanti yang akan menghalangnya terus daripada menghadiri perhimpunan itu.
“Beliau dikatakan sama ada akan dipecat atau digantung keahlian UMNOnya.
“Dengan memecat atau menggantung keahliannya, keperluan untuk Muhyiddin berucap di majlis penggulungan secara automatik tidak berbangkit lagi,” tulisnya
Muhyiddin akan tampil berucap di Kelab Sultan Sulaiman pada petang Isnin kerana dikatakan bagi mengganti haknya selepas tidak dibenarkan merasmikan ketiga-tiga sayap UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2015(PAU 2015).
Tulisnya di blog, shahbudindotcom, dia menyifatkan keputusan Muhyiddin untuk berucap jelas melanggar arahan parti yang telahpun bersetuju perasmian sayap-sayap dilakukan oleh ketua masing-masing.
Ramalnya lagi, selain Muhyiddin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dijangka akan diambil tindakan dipecat atau digantung keahlian itu.
Tindakan terhadap Dr Mahathir dikatakan diambil kerana serangan berterusannya terhadap Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sama ada dalam ucapan mahupun penulisan di blog, manakala Shafie kerana sikap dan pendiriannya yang tidak jauh berbeza dengan Muhyiddin.
“Melalui tindakan terhadap Tun Mahathir juga akan menghalang kehadiran bekas Perdana Menteri itu dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dan sekaligus memberi kelegaan kepada Najib untuk menyampaikan ucapan perasmiannya dengan lancar tanpa perlu memandang wajah pengkritik utamanya itu,” tulisnya.
Berdasarkan kenyataan yang dibuat Naib Presiden UMNO, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Shahbudin meramalkan ia menunjukkan petanda akan berlaku pemecatan.
“Dalam interbiunya dengan Malay Mail, Zahid melahirkan keyakinan bahawa UMNO tidak akan mengalami perpecahan yang serius jika tindakan diambil terhadap pengkritik Najib.
“Katanya, UMNO sudah pernah mengalami perpecahan sebelum ini tetapi kemudiannya bersatu kembali,” tulisnya.
Menurutnya, jika diperhalusi, pendirian terbaru Zahid ini amat berbeza dengan kenyataannya sebelum mesyuarat MT sebelum ini yang bukan saja menafikan Muhyiddin dan Shafie akan diambil tindakan, bahkan juga mahu kedudukan kedua-dua pemimpin itu terus dihormati.
Sebelum mengakhiri entrinya, Shahbudin membangkitkan persoalan untuk direnung pembaca.
“Apakah ini menunjukkan Zahid sekarang bukan saja mulai bersetuju dengan pemecatan atau penggantungan itu, bahkan lebih mahukan ia berlaku?
“Dalam masa yang sama, apakah ia didorong oleh kemahuan untuk melindungi kedudukan Najib atau demi masa depan politiknya sendiri? Soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan