Georgetown: “Tiada apa yang lebih berharga selain daripada dapat syahadahkan ibu sendiri,” kata Syafikah Abdullah, 37, menceritakan saat manis ketika dia diberi peluang mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah, sekali gus memeluk Islam, minggu lalu.
Menurutnya, dia begitu terharu kerana ibu kandungnya, Fatimah, 65, dibukakan pintu hati dan mengikut jejaknya memeluk Islam selepas dia berbuat demikian sejak 15 tahun lalu.
Syafikah yang berkongsi pengalamannya hidup sebagai seorang Muslim berkata, sejak memeluk Islam, dia selalu melakukan solat sunat Tahjud dan Dhuha tanpa berputus asa berdoa kepada Allah SWT supaya ibunya terbuka hati memeluk Islam.
“Selepas berbelas tahun, ibu akhirnya terbuka hati dan menyatakan hasrat mahu memeluk Islam, malah lebih manis apabila saya sendiri yang mengajar ibu mengucap dua kalimah syahadah.
“Saya bersyukur kerana pintu hati ibu terbuka untuk memeluk Islam walaupun dia begitu kuat berpegang dengan agama lama,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Syafikah berkata, dia kerap menceritakan kisah Nabi Ibrahim kepada ibunya selain banyak berdoa setiap kali selepas solat supaya wanita itu akan mengikut jejaknya satu hari nanti.
“Bukan saja ibu, saya turut sempat mengajar kakak mengucap dua kalimah syahadah ketika dia bertarung dengan maut selepas terlantar di hospital akibat kencing manis.
“Walaupun dia dikebumikan mengikut agama lama kerana tiada dokumen menyatakan dia memeluk Islam, saya tetap bersyukur kerana kakak sempat mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir tahun lalu,” katanya.
Syafikah berkata, dia memeluk Islam ketika berusia 22 tahun, namun mendapat tentangan daripada ahli keluarga terutama bapa saudara yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.
“Saya ketika itu mendapat restu daripada ibu yang langsung tidak menghalang, namun ada ahli keluarga lain yang tidak suka saya menukar agama, malah mereka turut mengugut akan membunuh diri.
“Namun, walaupun pelbagai dugaan, saya tetap nekad memeluk Islam dan berkahwin dengan suami saya sekarang kerana percaya dengan restu ibu dan hingga kini kami hidup bahagia,” katanya.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu ibunya seakan-akan tertarik dengan cara hidup mereka sekeluarga yang sentiasa bersolat dan melakukan ibadah lain.
“Ibu mendakwa dia tertarik melihat saya, suami dan anak bersolat sebelum akhirnya dia menyatakan hasrat mahu memeluk Islam kepada saya.
“Sebagai anak, saya bersyukur kerana doa saya selama ini akhirnya dimakbulkan dan tuhan melembutkan hati ibu walaupun dia sebenarnya berpegang kuat dengan agama lama,” katanya.
Menurutnya, selepas ibunya menyatakan hasrat mahu memeluk Islam, dia terus menghubungi wakil Hidayah Centre Pulau Pinang yang kemudian mengatur pertemuan untuk menjelaskan dan memberi penerangan lebih lanjut kepada warga emas berkenaan.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan