"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR mahu tawan Kedah, Johari jadi calon MB

PKR mahu tawan Kedah, Johari jadi calon MB
Ceramah Invoke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai isu semasa negara dan meraih undi berlangsung secara aktif, bermula di Pekan Kota Sarang Semut, Kedah hujung minggu lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.

SETIAP musibah ada hikmahnya, dan di sebalik keengganan PAS untuk menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), muncul peluang untuk parti lain menggantikan parti Islam itu, terutamanya di Kedah.

Ketiadaan PAS dalam PH kini membuka pintu kepada PKR atau Bersatu “menegakkan hak mereka” untuk menerajui negeri jelapang padi itu.

“PKR mahu menakluk Kedah dan mengetuai kerajaan negeri seterusnya,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul kepada The Malaysian Insight selepas ceramah Invoke di Pekan Kota Sarang Semut hujung minggu lepas.

“Kami mahu bertanding sekurang-kurangnya 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Johari.

Sebelum ini, PKR terpaksa membuka jalan kepada rakan pakatan yang lebih kuat untuk menerajui Kedah.

Tetapi dengan tiadanya PAS dalam PH atau Pakatan Rakyat, ada lompang dan peluang untuk PKR menguasai Kedah, katanya lagi.

Bersatu, sebuah lagi parti dalam PH, yang diterajui anak jati Kedah dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengintai peluang di Kedah.

Satu-satunya wakil rakyat Bersatu di Kedah, bekas menteri besar negeri itu yang meletakkan jawatan pada 2015 dan kini merupakan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir yang memegang kerusi DUN Ayer Hitam, memberitahu The Malaysian Insight dalam satu temubual sebelum ini yang partinya itu “berminat” dengan Kedah.

Bersatu dijangka merancakkan kempennya untuk menakluk Kedah berasaskan populariti Mukhriz dalam kalangan orang muda negeri itu sebelum dia dipaksa berundur selepas tidak lagi sehaluan dengan Umno.

Pada masa yang sama, PKR mahu menaikkan Johari Abdul sebagai calon menteri besar pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya akan bertanding di DUN Gurun. Dan iya, PKR merancang meletakkan saya untuk mengetuai kerajaan negeri sekiranya kami menang paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Johari.

Tetapi bukankah PKR dan Bersatu merupakan rakan kongsi dalam pakatan pembangkang yang sama, dan bagaimana mungkin kedua-duanya mengintai peluang yang sama di Kedah?

Johari berkata PKR tahu niat Bersatu dan rundingan mengenai pembahagian kerusi sudah bermula dan masih lagi berlangsung.
Mukhriz Mahathir dikatakan menerima sokongan kuat daripada kelompok orang muda di Kedah seterusnya mencerahkan peluangnya mengetuai kerajaan negeri sekiranya pembangkang menang di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.
Mukhriz Mahathir dikatakan menerima sokongan kuat daripada kelompok orang muda di Kedah seterusnya mencerahkan peluangnya mengetuai kerajaan negeri sekiranya pembangkang menang di Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

Menyentuh sama ada parti itu boleh menang di negeri utara itu tanpa PAS, Johari berkata rakyat Kedah tidak lagi takut akan perubahan selepas 2008 dan dijangka menyokong PH walaupun dengan ketiadaan PAS.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN. Pada PRU 2013, PKR menang empat kerusi daripada 10 kawasan yang ditandinginya, sementara PAS pula menang di sembilan kerusi daripada 24 perwakilan yang ditandingi.

Dominasi PAS berkurangan kepada lapan DUN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor Phahrolrazi Zawawi meninggalkan parti Islam itu dan menyertai parti serpihan, Amanah.

Nasib sama juga menimpa Barisan Nasional (BN) apabila 12 kerusi negerinya berkurangan selepas Mukhriz dipecat dari Umno tahun lepas.

Pada 2008, Pakatan Rakyat menang 22 kerusi DUN Kedah, 16 kerusi dimenangi melalui PAS. PKR menyumbang lima kerusi dan DAP menang satu kerusi. Tetapi jumlah ini berkurangan selepas Adun Bakar Arang, Ran Wei Shu (PKR) meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas pada 2010.

Rakyat mahukan pembangunan

Ketiadaan PAS dalam PH di Kedah merupakan rahmat kepada pembangkang kerana pengundi melihat tidak banyak pembangunan berlaku sepanjang parti Islam itu mentadbir negeri antara 2008 hingga 2013, kata Saiful Izham Ramli yang menyelia pilihan raya di Kedah untuk PKR sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013.

“Pentadbiran PAS sepanjang 2008-2013 tidak berapa berkesan,” katanya berlapik.

“Mereka tidak banyak merancang untuk pembangunan negeri selama 5 tahun memerintah. Jadi apabila BN bertanding pada 2013 dan meletakkan Mukhriz sebagai calon MB, kita kalah,” tambahnya.

Kali ini, PKR lebih yakin dengan rakan kerjasama barunya, Bersatu dan Amanah yang mampu mengimbangi jumlah undi walaupun PAS tiada, kata Saiful.

“Kecenderungan kepada pembangkang masih kuat di sini. Lebih-lebih lagi sekarang, apabila Dr Mahathir mengetuai pembangkang dan mereka lebih yakin pembangunan akan bertambah baik sekiranya pembangkang diberikan sekali lagi peluang di Kedah,” katanya.
Invoke Malaysia, institut pemikir PKR kini merancakkan kempen jelajahnya di Kedah, diketuai Rafizi Ramli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.
Invoke Malaysia, institut pemikir PKR kini merancakkan kempen jelajahnya di Kedah, diketuai Rafizi Ramli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Ogos, 2017.

Sementara itu, institut pemikir PKR, Invoke Malaysia meneruskan kempennya di Kedah dengan pelbagai acara dilangsungkan pada hujung minggu.

Di depan barisan lot kedai mengadap jalan utama di Pekan Kota Sarang Semut, pemimpin tempatan PH diketuai Johari, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail berucap di hadapan lebih 400 penduduk tempatan.

Walaupun hujan lebat, hadirin dari pelbagai latar belakang terus setia mendengar Rafizi yang juga teraju Invoke mengecam BN dalam pelbagai isu daripada soal pembayaran lewat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada IPIC sehinggalah kepada isu kenaikan kos sara hidup kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Hamzah Ahmad, 62, yang dahulunya penyokong PAS berkata dia berpuas hati dengan penjelasan Rafizi tentang mengapa PH kini bekerjasama dengan Dr Mahathir dan bagaimana DAP tidak akan menghakis penguasaan orang Melayu dalam politik.

“Selain isu 1MDB, kos sara hidup juga menekan kami sekarang,” katanya lagi.

“Ikan kembung dulu tiga, lima ringgit sekilo tahun lepas, sekarang jadi 15, 18 ringgit tetapi gaji masih sama,” kata Hamzah yang memandu dari Pendang untuk mendengar ceramah itu.

Pada Sabtu, Invoke menganjurkan acara sarapan bersama rakyat di Gurun diikuti dengan ceramah “minum petang” di pasar Kulim yang menarik khalayak sekitar 500 orang.

Pada sebelah malam pula, Invoke mengadakan dua acara serentak, pertama acara mengutip derma dengan menjual 50 meja di Sungai Petani dan acara kedua, majlis ceramah di Pantai Merdeka. – 15 Ogos, 2017.
-malaysianinsight

Tiada ulasan: