"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 senario yang mungkin berlaku pada PRU14

FMT Reporters
PETALING JAYA: Satu badan pemikir berkata keputusan pilihan raya umm ke-14 (PRU14) akan ditentukan oleh berapa banyak Parlimen yang Umno tewas akibat daripada perpecahan dalaman yang menyebabkan pembentukan PPBM.

Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berkata di mana Umno berdepan perpecahan yang “besar” – menyebabkan ahli meninggalkan parti – undi Melayu kepada Umno akan menyusut dan kerusi Parlimen Umno akan berkurangan.

Pengarah Eksekutif KPRU Ooi Heng berkata keadaan itu boleh dilihat berlaku pada pilihan raya umum 1990, apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertelagah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan meninggalkan Umno untuk menubuhkan Semangat 46. Akibatnya, jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi Umno berkurangan 12 kerusi, daripada 83 kerusi pada 1986 kepada 71 kerusi pada 1990.

Keadaan itu sekali lagi dilihat berlaku pada pilihan raya umum 1999 selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penubuhan Parti Keadilan Nasional, yang menyaksikan kerusi 

Parlimen Umno berkurangan 17 kerusi, daripada 89 kerusi pada 1995 kepada 72 kerusi pada 1999.

Oleh itu, Ooi berkata terdapat 2 senario yang mungkin berlaku pada PRU14.

Dalam senario pertama, Umno akan kehilangan 15 hingga 20 kerusi daripada 88 kerusi yang dimenangi pada PRU13, meninggalkannya dengan jumlah antara 68 hingga 73 kerusi.

Beliau berkata senario itu menganggap setiap “perpecahan besar” dalam Umno akan mengakibatkan perpecahan yang lebih parah berbanding sebelum ini.

“Ini mungkin bererti prestasi Umno pada 1999 berbanding 1995 lebih buruk daripada prestasi 1990 berbanding 1986.

“Oleh itu, keputusan pada PRU14 berbanding PRU13 mungkin akan lebih buruk jika dibandingkan dengan keputusan PRU10 (1999) berbanding PRU9 (1995).”

Dalam senario kedua, bukan sahaja prestasi Umno lebih buruk berbanding sebelum ini, ia juga akan menunjukkan “penyusutan kerusi paling buruk dalam sejarah”, iaitu kehilangan 25 hingga 30 kerusi. Katanya, jika keadaan itu berlaku pada PRU14, Umno akan hanya mempunyai 58 hingga 63 kerusi sahaja.

Ooi berkata senario kedua mengambil kira hakikat dalam kalangan bekas pemimpin parti yang menerajui pembangkang untuk mencabar Umno, pemimpin tertinggi mereka ialah seorang bekas timbalan perdana menteri.

“Kali ini, Dr Mahathir ialah bekas perdana menteri yang pernah memerintah negara selama 22 tahun,” katanya.

Beliau menambah pilihan raya pada 2008 dan 2013 juga berjaya mengubah lanskap politik, menggugat sistem dominan 1 parti yang sebelum ini dianggap utuh.

“Berdasarkan senario itu, selain dari Umno kehilangan banyak kerusi Parlimen, keputusannya ialah Barisan Nasional pada PRU14 tidak akan mengulangi keadaan yang berlaku pada PRU10 di mana ‘pengundi Melayu menentang tetapi pengundi bukan Melayu tidak menentang’, atau ‘BN selamatkan Umno’,” katanya.

“Dalam pilihan raya 1990 dan 1999, walaupun Umno berdepan perpecahan, sistem dominan 1 parti masih utuh.

“Hari ini, selepas mengalami perubahan lanskap politik dalam pilihan raya 2008 dan 2013, sistem dominan 1 parti sudah goyah. Oleh itu, kali ini keadaan ‘BN selamatkan Umno’ tidak akan berlaku.”

Sementara itu, beliau berkata BN mungkin akan menyaksikan peningkatan undi Cina pada PRU14, tetapi tidak mencukupi. Blok undi penentu ialah masyarakat India.

Beliau berkata pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, tidak harus mengecilkan pengundi India.

Ooi berkata jika pembangkang semata-mata menumpukan 30 kerusi yang empunyai lebih 50% pengundi Cina, BN akan memperoleh undi pengundi India yang lebih besar pada PRU14.

Beliau menambah walaupun BN kehilangan 49% undi orang India pada 2008, ia memperoleh kembali 10% pada 2013.

Menurut peta pilihan raya 2013, terdapat lebih 60 kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 10% pengundi India – 52 kerusi dengan 10%-20% pengundi India dan baki 8 kerusi lagi 21%-30% pengundi India.

“Walaupun pada pilihan raya umum 2013 Pakatan Rakyat hanya mempunyai 10 ahli Parlimen India, 60 kawasan itu yang mempunyai lebih dari 10% pengundi India akan memberi kesan kepada peluang kemenangan calon bukan India di kawasan berkenaan.

“Bagi menghalang situasi ‘BN selamatkan Umno’ daripada berlaku pada PRU14, Pakatan Harapan perlu bekerja lebih keras menangani keperluan masyarakat India, dan mencadangkan dasar yang berkesan.”

Tiada ulasan: