"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sudah terlambat, kami sedia lawan 3 penjuru, PAS beritahu PKR

Mohamad Fadli and Robin Augustin 
PETALING JAYA: PAS berkata adalah sukar menjalinkan semula kerjasama dengan PKR selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin berkata kedua-dua parti itu masih boleh berbincang soal kerusi pada pilihan raya umum (PRU) untuk memastikan Barisan Nasional (BN) ditentang satu lawan satu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Zuhdi Marzuki berkata berdasarkan kajiannya, pengundi Melayu kebanyakannya mahu PAS bergerak sendiri tanpa menyertai Pakatan Harapan (PH) dan BN.

“Apa yang dicadangkan itu teramat sukar tetapi tidak mustahil,” katanya, mengulas kenyataan Wan Azizah yang berkata PKR masih boleh bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada PRU walaupun kedua-dua parti menamatkan kerjasama secara rasmi hampir 3 bulan lalu.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan BN. Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” kata Wan Azizah kepada FMT Rabu lalu.

Bagi Zuhdi, ia sesuatu yang sukar dicapai.
“Jentera kita sudah siap sedia untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, sebarang rundingan semula dengan PKR akan menyebabkan strategi PAS terpaksa “berpusing 180 darjah”.
“Persiapan jentera kita sudah hampir siap dan sudah hampir 100% dengan sasaran pilihan raya.”

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Sementara itu, DAP tidak faham tindakan PKR yang tidak menolak kerjasama dengan PAS sedangkan “tahaluf siyasi” (kerjasama politik) sudah dibatalkan.

“Saya tidak faham setelah hubungan diputuskan tetapi sekali lagi ingin bekerjasama,” katanya.

Manakala Amanah berkata sebarang rundingan perlu berpegang kepada matlamat menjatuhkan BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata rundingan tidak boleh berlaku sekiranya PAS tidak komited dengan matlamat PH.

“Soalnya, adakah PAS mempunyai matlamat sama, dan jaminan bahawa setelah menang, tidak akan khianati PH?” soalnya.
“PAS kena akur dengan keadaan di mana kita sekarang ada 4 parti. Ia tak boleh kata Amanah, PPBM tak boleh bertanding dan semua kerusi untuk PAS.”

Tiada ulasan: